Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keinginan terhadap trufel semakin meningkat di Kuwait

    BANDAR RAYA KUWAIT – Memutih atau berwarna kuning air, namun tidak pernah berwarna hitam, ‘trufel padang pasir’ adalah suatu bahan makanan yang istimewa, khususnya dalam pasaran di Kuwait, di mana bekas-bekas serangan daripada Iraq dan juga pola cuaca yang berubah-ubah telah menjejaskan hasil pengeluaran tempatan.

    Kurang berprestij dan tidak begitu mahal jika dibandingkan dengan jenis seangkatannya iaitu trufel Timur Tengah di mana ianya begitu berharga buat kumpulan Badwi, yang digabungkan dalam masakan nasi dan hidangan daging tradisional mereka atau berbentuk sos, direbus dengan bawang.

    Di pinggir Bandar Raya Kuwait, di daerah perindustrian Rai, para peniaga mula meneliti bahan itu di bazar trufel tersebut seawal jam sembilan pagi, meninjau jumlah berat dan warna yang berbeza-beza serta menggunakan deria bau (hidung) mereka untuk memilih kulat yang terbaik.

    Ada yang menggunakan sistem barter untuk mendapatkannya, manakala ada juga yang membeli secara terus dengan memilih trufel yang berkualiti tinggi, yang mana ianya digunakan dalam bahan resipi hidangan tradisional.

    Permintaan bagi trufel ini sangat tinggi di dalam pasaran emiriah Teluk itu, di mana setiap tahun, ratusan peniaga akan bersaing dalam menjual trufel mereka di dalam ruangan gerai yang begitu terhad semasa musim sejuk. Pasar itu dirancang oleh perbandaran Al-Rai, sebuah zon perindustrian di barat laut Bandar Raya Kuwait, yang mengawasi dan mengendalikan pengawasan dan jaminan kualiti kulat tersebut.

    Permintaan bagi trufel ini adalah sangat tinggi di dalam pasaran emiriah Teluk ini di mana setiap tahun, ratusan peniaga akan bersaing dalam menjual trufel mereka di dalam ruangan gerai yang begitu terhad semasa musim sejuk. – AFP
    Seorang peniaga warga Kuwait kelihatan menyusun trufel untuk dijual di salah sebuah pasar di al-Rai, sebuah zon perindustrian di barat laut Bandar Raya Kuwait. – AFP

    “Kami memutuskan untuk membina pasar ini pada tahun 2006 untuk menganjurkan jualan produk ini, yang mana anda pasti menjumpainya di pelbagai pelusuk tempat di Kuwait,” kata Faisal al-Jomaa, naib gabenor Bandar Raya Kuwait.

    Tahun ini, katanya, seramai 520 peniaga telah memohon bagi gerai berukuran sembilan meter persegi itu (97 kaki persegi) itu. Hanya 123 vendor sahaja yang akan mendapatkannya.

    Salah seorang daripada mereka ialah warga Iran, Abdel Ali Said, yang telah membeli dan menjual trufel sejak tahun 1960an.

    “Ia datang dari Iran, Arab Saudi, Maghribi, Tunisia, Libya dan banyak lagi,” katanya mengenai pelbagai varieti trufelnya.

    Harganya bermula dari tujuh hingga 20 dinar Kuwait (AS$23 hingga AS$67) sekilogram bergantung kepada kualiti, menurut Said. Pada tahun ini, pasaran trufel ini dilaporkan dibanjiri dari Libya.

    “Ini berlaku setiap enam tahun,” kata saudagar warga Kuwait, Mohammed al-Shammari baru-baru ini di pasar trufel. “Pengeluaran dan penghasilan ini berkitar. Anda juga akan menemui lambakan trufel dari Tunisia pada tahun ini.”

    Untuk melihat betapa popularnya trufel ini di kalangan warga Kuwait, Shammari menegaskan bahawa “tiga hingga empat tan trufel diimport setiap hari dan dijual segar.”

    Oleh kerana keinginan mereka terhadap trufel, Kuwait sendiri telah menubuhkan penanaman komersial dan penuaian kulat tersebut, yang mana telah susut kepada sifar sejak Iraq menyerang emiriah itu pada tahun 1990.

    Risiko terpijak periuk api yang masih belum meletup, yang ditinggalkan oleh tentera Iraq, mengakibatkan warga Kuwait untuk menjauhi padang pasir yang mempunyai tumbuhan trufel liar tersebut.

    Permintaan trufel adalah semakin meningkat terutamanya dalam pembuatan hidangan istemewa iaitu ‘Kabsa’, sejenis hidangan nasi berempah yang mana biasa dijumpai di seluruh teluk itu dan masih merupakan hidangan paling popular di Kuwait. – AFP
    Harga trufel ini bermula dari tujuh hingga 20 dinar Kuwait (AS$23 hingga AS$67) sekilogram bergantung kepada kualiti. – AFP

    Satu-satunya pengeluaran yang tersisa adalah untuk kegunaan peribadi sahaja. Tanaman trufel Kuwait juga telah terjejas akibat daripada keadaan persekitaran yang berubah-ubah.

    Tidak seperti trufel Eropah, yang tumbuh di bawah akar pokok, trufel padang pasir ini akan tumbuh selepas waktu hujan. Ini bermakna, ia akan tumbuh dalam jumlah dan kualiti yang berbeza-beza mengikut jumlah turunan hujan dan cuaca setempat.

    “Turunan hujan yang tidak menentu, pembangunan pembandaran yang begitu cepat dan pencerobohan padang pasir, kesemua ini telah membawa kepada faktor-faktor kepupusan trufel tempatan,” jelas naib gabenor, Jomaa.

    Permintaan trufel semakin meningkat terutamanya dalam pembuatan hidangan istimewa iaitu ‘Kabsa’, sejenis hidangan nasi berempah yang biasa dijumpai di seluruh teluk itu dan masih merupakan hidangan paling popular di Kuwait.

    Bahan-bahan utamanya adalah beras bijirin bersaiz panjang, daging merah dan trufel, yang digunakan untuk penambah rasa sup semasa ianya dimasak.

    “Warga Kuwait semakin menggemari trufel kerana ianya jarang didapati dan mempunyai rasa yang unik,” kata Yousef Mohammed al-Khaled, seorang pakar muda trufel, yang mendakwa bahawa dia boleh membezakan pelbagai jenis trufel yang ada di pasaran.

    Khaled berkata dia telah membelanjakan sehingga 3,000 dinar Kuwait (hampir AS$10,000) setiap tahun pada trufel putih, di mana dia akan menggunakan bahan tersebut sebanyak dua kali seminggu, termasuklah ketika makan tengah hari bersama keluarganya pada hari Khamis dan juga pada hari terakhir minggu bekerja.

    Trufel segar hanya boleh didapati di Kuwait dari bulan November hingga bulan April, tetapi sesetengah vendor menjual variasi trufel kering semasa musim panas di rantau itu bagi memenuhi keinginan pelanggan mereka sepanjang tahun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda