Keistimewaan al-Tanoor jadi rebutan di Baghdad

BAGHDAD – Dalam pembuatan roti yang enak, setentunya bahan-bahan untuk membuatnya memainkan peranan penting bagi mewujudkannya.

Namun tempat untuk membakarnya juga memiliki peranannya tersendiri dalam mewujudkan roti yang enak. Ketika ini, memang banyak jenis ketuhar moden yang dilengkapi dengan pelbagai kemajuan, tetapi ketuhar tradisional yang diperbuat daripada tanah liat memiliki tarikannya tersendiri dari segi rasa aroma yang meresap ke dalam roti yang dibakar.

Di Rashdiyah di pinggir utara Baghdad, ketuhar tanah liat ini masih ramai masyarakat setempat menggunakannya. Sehinggakan rata-rata mereka lebih menyukai penggunaan ketuhar tradisional tersebut berbanding dengan ketuhar moden.

“Ketika saya masih kecil, saya pernah makan roti panas yang lazat (tempatan dikenali sebagai Khubuz) yang dibakar di al-Tanoor, atau ketuhar tanah liat tradisional, untuk sarapan pagi,” kata Jasim al-Hamdani, yang tinggal di pinggir utara Baghdad, Rashdiyah.

Al-Hamdani, 65, berkata beliau lebih menyukai menggunakan al-Tanoor untuk membakar khubuzi Iraq kerana ia memberikan rasa istimewa tanah liat dan kayu yang terbakar di dalam ketuhar pada roti tradisional tersebut.

Seorang pelanggan memeriksa ketuhar tanah liat dari kedai produk tanah liat di utara Baghdad, Iraq. – Xinhua

Walaupun cabaran yang semakin meningkat dari perkakas rumah moden, seperti ketuhar keluli yang dipanaskan oleh elektrik atau bahan api, ketuhar tanah liat tradisional masih memainkan peranan penting dalam kehidupan harian rakyat Iraq.

Mohammad Hashim, guru di Institut Kraf tangan dan Warisan di Baghdad, berkata “industri ketuhar tanah liat tradisional mengekalkan kewujudannya selagi kebanyakan penduduk Iraq lebih menyukai rasa Khubuz Iraq, dan selagi pembuat ketuhar tanah liat itu menikmati ketukangan tradisional dan mencari cara yang baik untuk mencari nafkah.”

Hashim memberitahu media “ketuhar tanah liat adalah sebahagian daripada warisan Iraq, dan ia mempunyai sejarah beribu-ribu tahun, kerana terdapat banyak tanda dalam sejarah negara yang menunjukkan penyebaran pertukangan kraf yang terkenal seperti itu.”

Menurut maklumat arkeologi, bandar Mosul di utara Iraq adalah salah satu bandar tertua dengan industri ketuhar tanah liat, tambah Hashim.

Di kawasan kejiranan Kadhmiyah di utara Baghdad, Sebhtain Mejbil, 17, bekerja dengan keluarganya membuat ketuhar tanah liat, berkata beliau dan keluarganya berminat meneruskan kraf tangan mereka kerana ia merupakan sebahagian daripada warisan negara.

“Hanya beberapa orang yang bekerja di kraf tangan ini pada masa sekarang. Kami di Baghdad, dan bapa saudara saya di Kufa, dan kami cuba memelihara kraf tangan ini,” kata Mejbil, yang meninggalkan sekolah untuk menyertai bapanya dalam kerja itu, kepada media.

Untuk membuat ketuhar tanah liat tradisional, para pembuat perlu membawa lumpur merah khas dari dataran berhampiran bandar Najaf, kira-kira 160 km selatan Baghdad. Kemudian para pekerja harus mencampurkannya sehingga sebati menggunakan kaki mereka sebelum mereka membina ketuhar dengan melingkarkan tanah liat dari bawah ke atas.

Al-Tanoor jenis baharu mesti ditinggalkan di bawah sinaran matahari selama beberapa hari untuk kering dan mengeras sebelum siap digunakan. Para tukang roti boleh melekatkan doh di bahagian dalam dinding ketuhar tanah liat tersebut. – Xinhua