Keistimewaan buah tin jadikan

IPOH – Kata pepatah Melayu ada menyebut berbudi pada tanah pasti akan ada hasilnya dan jika disulami dengan rasa cinta terhadap tanaman itu, pasti pulangannya tidak mengecewakan.

Demikian dibuktikan oleh seorang guru agama, Hawari Wanik, 32, yang kini bergelar usahawan buah tin dengan mengusahakan ladang dikenali sebagai ‘Ipoh Figs Farm’ di kawasan perkelahan Ulu Chepor seluas 0.40 hektar di sini sejak 2017.

Menurut guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Ummah itu, beliau mula mengusahakan tanaman buah tin pada tahun 2014 bermula dengan 50 pokok pelbagai variasi di dalam pasu tepi rumah selepas ‘jatuh cinta’ dengan keunikan dan khasiat buah tersebut.

“Saya mula menanam secara suka-suka dekat kuarters dan tidak ada halangan, bila buah tin dah masak, kita makan sendiri sahaja dan penjualan lebih kepada anak pokok serta benih secara dalam talian sebelum ia semakin mendapat sambutan,” katanya ketika ditemui media.

Bermodalkan RM60,000 menggunakan duit simpanan dan keuntungan daripada hasil jualan secara dalam talian itu, Hawari mengambil langkah berani mengusahakan tanaman buah dengan nama saintifik Ficus Carica secara besar-besaran empat tahun lalu.

Pengusaha buah tin, Raino Firhan Abdul Rahim (kiri), Hawari Wanik, (tengah) dan Mohd Hafiz Helmi Md Hashim, menunjukkan aiskrim yang berasaskan buah tin yang sedia untuk dijual. – Bernama

Hawari berkata pada peringkat permulaan, mengusahakan ladang berkenaan secara bersendirian, beliau telah membina sebuah rumah pelindung hujan dan menanam sebanyak 336 anak pokok dari 20 variasi.

“Antara jenis pokok buah tin yang ditanam adalah Masui Dauphine, Constantine De Algerie, Super Red Hybrid, Long Neck Yellow, Moulinat, dan Bardissot Negra Rimada,” katanya sambil menambah mempelajari teknik penanaman menerusi pembacaan serta ulang kaji sendiri.

Melihat potensi buah itu, dua rakan Hawari iaitu Khairil Amri Abdul Rahman, 43, dan Mohd Hafiz Helmi Md Hashim, 32, turut sama melabur bagi mengembangkan sayap perniagaan selain menubuhkan Persatuan Figgers Malaysia yang dianggotai pengusaha tanaman pokok buah tin komersial seluruh negara.

“Dengan usaha sama ini, sebanyak RM30,000 dikeluarkan untuk membina rumah pelindung hujan yang kedua dan setakat ini kami telah menanam lebih 500 anak pokok buah tin terdiri daripada 70 variasi di kedua-dua buah rumah hijau berkenaan. Walaupun jumlah pengeluaran buah tin agak banyak iaitu hampir 20 kilogram (kg) setiap hari, namun kami tidak merancang untuk mengeksport kerana tempoh kesegarannya hanya 10 hari selain memerlukan kos yang tinggi,” katanya.

Hawari yang berasal dari Batu Kurau, dekat Taiping, berkata, pokok tin mengambil masa antara 40 hingga 60 hari untuk berbuah sebelum boleh dipetik dan dijual pada harga RM80 untuk satu kilogram, seterusnya mampu meraih pendapatan RM30,000 untuk semusim penanaman atau tujuh bulan.

Lebih membanggakan, guru itu kini telah menubuhkan anak syarikat Hijrah Es Magic Enterprise bagi menghasilkan produk berasaskan tanaman buah tin seperti minyak herba pokok tin, aiskrim buah tin serta teh daun tin. – Bernama