Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Keistimewaan kecil Mushaf

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Mushaf Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) merupakan mushaf pertama yang ditulis dan direka bentuk sepenuhnya oleh anak-anak tempatan dengan mengutamakan tulisan yang mesra pembaca, di mana ia diharap akan mudah digunakan bagi tujuan pembacaan dan pembelajaran.

    Antara keistimewaan mushaf berkenaan, ia mempunyai enam reka bentuk jidar yang berbeza dengan motif tumbuh-tumbuhan flora tempatan yang digabungkan dengan reka bentuk dan binaan masjid di tanah air.

    Perkara ini dikongsikan oleh Ketua Unit Penerbitan Mushaf dan Penolong Pensyarah UNISSA, Awang Muhammad Riziman bin Haji Usin semasa temu bual media mengenai Projek Wakaf Mushaf UNISSA yang berlangsung di universiti berkenaan, baru-baru ini.
    Beliau seterusnya mengongsikan latar belakang cetakan edisi kecil mushaf berkenaan, yang mana ia merupakan hasil daripada Mushaf UNISSA yang menjadi kepala perarakan pada setiap Majlis Hafl Al-Takarruj UNISSA.

    Menurut beliau, terbitan Mushaf UNISSA Cetakan Edisi Kecil itu dapat memperkasa budaya membaca dan melahirkan generasi Al-Quran di negara ini.

    Usaha berkenaan juga sekali gus menyokong hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir yang sentiasa mendapat berkat serta reda dari Allah SWT.

    Awang Muhammad Riziman semasa mengongsikan mengenai keistimewaan Mushaf UNISSA edisi cetakan kecil.

    Mengulas mengenai projek wakaf yang dijalankan, beliau menjelaskan bahawa ia bertujuan untuk memberikan peluang kepada mereka yang berminat untuk berwakaf berbentuk mushaf yang mana seperti yang diketahui wakaf merupakan salah satu ibadah dengan menginfakkan harta yang dimiliki untuk kegunaan umat Islam dengan niat ibadah bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

    Amalan wakaf juga merupakan sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf buat selama-lamanya dan ia sangat dituntut dalam agama Islam.

    Selain itu, UNISSA juga menjadi pemudah cara kepada masyarakat Islam untuk berwakaf mushaf dan antara tujuan wakaf berkenaan adalah supaya Mushaf UNISSA dapat dimanfaatkan secara maksimum melalui edaran yang lebih banyak kepada masyarakat.

    Setiap pewakaf diberikan pilihan tempat berwakaf sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak UNISSA iaitu institusi pendidikan, masjid-masjid, surau dan balai ibadat, saudara-saudara baharu dan organisasi atau institusi luar negara.

    Selain itu, UNISSA akan menyelaras pengagihan wakaf mushaf berkenaan kepada pihak yang telah dipilih oleh pewakaf dan pembiayaan bagi penghantaran dalam dan luar negara termasuk dalam harga mushaf.

    Pewakaf hendaklah melengkapkan Borang Wakaf Mushaf UNISSA dan menghantarnya kepada pihak Urus Setia Wakaf Mushaf UNISSA bersama pembayaran penuh secara tunai atau secara dalam talian.

    Sejak wakaf mushaf berkenaan bermula secara rasmi pada 16 Febuari lalu, sambutan orang ramai setakat ini sangat menggalakkan dan diharap ramai lagi yang merebut peluang berkenaan.

    Wakaf projek mushaf ini merupakan projek berterusan UNISSA dan sentiasa dibukakan untuk mereka yang ingin berwakaf berupa mushaf UNISSA dan ia boleh didapati di Kedai Buku UNISSA dan di Unit Penerbitan Mushaf, Bangunan Pusat Penyelidikan Mazhab Syafie.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...