Keistimewaan lemang periuk kera

KUALA KANGSAR – Sepasang suami isteri membuktikan di mana ada kemahuan di situ ada jalan dan tidak menjadikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas sebagai penghalang sebaliknya menjadikan ia lubuk rezeki buat mereka.

Disebabkan restoran diusahakan Norhasmah Mohamed Tajuddin dan suami Aznan Wan Ya di Bukit Chandan di sini tidak dapat beroperasi susulan PKP, pasangan berumur 48 tahun itu mengambil alternatif mengusahakan perniagaan lemang periuk kera  secara dalam talian.

Norhasmah berkata lemang yang dimasak dalam kelongsong periuk kera menghasilkan aroma dan rasa sangat berlemak yang nyata berbeza dengan lemang yang dibakar dalam buluh membuatkan orang ramai menyukai juadah itu walaupun pertama kali membelinya.

“Semasa PKP mula dilaksanakan pendapatan sangat terjejas kerana restoran ditutup disebabkan kebanyakan pekerja dihantar pulang ke negara jiran (Thailand). Kami berfikir apa nak buat untuk tambah pendapatan sebab kalau hendak jual lauk pauk atau nasi terlalu ramai yang menjualnya.

Kami berdua mengambil alternatif menjual lemang periuk kera ini kerana ia sukar didapati, kebiasaannya hanya pada musim perayaan  dan tidak menyangka ia mendapat permintaan sangat menggalakkan,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Norhasmah Mohamed Tajuddin memasukkan pulut ke dalam kelongsong periuk kera sebelum dimasak di Bukit Chandan. – Bernama

Norhasmah berkata dia dan suami akan masuk ke kebun getah berhampiran beberapa hari dalam seminggu untuk mendapatkan bekalan periuk kera dan selepas itu proses pembersihan dilakukan dengan membersihkan bahagian dalam kelongsong menggunakan air sebelum dikeringkan dan sedia untuk digunakan.

Kira-kira 2,000 biji lemang periuk kera bersama set rendang ayam Perak dijual setiap hari pada harga RM10 manakala caj penghantaran terus ke rumah pula antara RM1 hingga RM3 bergantung kepada jarak lokasi.

Turut tidak menjadikan PKP sebagai alasan adalah Zaliah Ibrahim, 49, dari Kampung Simpang Lawin yang mengusahakan nasi lemuni menerusi khidmat penghantaran ke rumah apabila kedai makan yang diusahakannya di sini ditutup dan bercadang membukanya semula selepas Aidilfitri.

Beliau yang menjual nasi lemuni sejak 20 tahun berkata juadah terkenal di sebelah utara tahan air yang dimasak menggunakan daun lemuni bersama santan dan beberapa bahan lain boleh dinikmati dengan pelbagai lauk pauk seperti sambal ikan bilis atau sotong, ikan pekasam, rendang ayam atau daging.

“Nasi lemuni kebiasaannya dimakan oleh wanita dalam berpantang selepas bersalin tetapi sejak kebelakangan ini, ia digemari oleh semua peringkat umur dan setiap hari saya menjual lebih 50 bungkus dengan harga RM2.50 sebungkus,” kata ibu kepada empat anak itu. – Bernama