Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejadian aneh di sebuah perigi

    Oleh KW

     

    PETANG itu kurasa pelik. Angin bagai marahkan sesuatu, meniup daun-daun kering berterbangan bebas. Aku memerhatikan sekeliling, mencari kelibat wajah-wajah yang sinonim bagiku.

    Anisah masih tidak kelihatan. Aku ketua rumah hijau dan Anisah penolongku. Daripada kejauhan, Cikgu Norina tiba-tiba muncul, memberikan khabar gembira yang kelas kokurikulum petang itu dibatalkan kerana ribut bagai memberikan amaran awal untuk mengganas lagi.

    Di kala musim tengkujuh sebegini, angin ribut bakal mendatangkan petaka lebih besar jika tidak berwaspada.

    Hakim, jiran Anisah datang menyapaku dengan nafas termengah-mengah. Kebiasaannya, mereka selalu datang berbasikal bersama ke sekolah.

    “Anisah sakit. Dia kena rasuk!” bisik Hakim kepadaku.

    Kami bergegas mencapai basikal masing-masing untuk ke rumah Anisah. Rumahnya jauh ke dalam kampung. Dulu hanya batas sawah yang menjadi laluan keluar masuk ke rumahnya dan beberapa buah rumah di kawasan sekitar.

    Tapi kini laluan tanah merah sudah ditambun untuk memudahkan laluan traktor dan jentera menuai padi.

    Di atas beranda rumah Anisah, kelihatan beberapa orang kampung. Ayahnya juga turut duduk bersembang rancak sambil tangan kiri mengepit rokok daun. Aku meneliti perbualan mereka.

    Menurut bicara ayahnya, Anisah terjatuh ke dalam perigi buta semasa dalam perjalanan ke sekolah.

    Dia mengambil jalan pendek kerana sudah terlewat untuk ke kelas petang. Selalunya dia tidak balik ke rumah selepas habis sekolah pagi, tetapi hari itu dia balik kerana terlupa bekalan duit saku paginya.

    Aku pernah dengar kisah tentang perigi buta itu. Laluan ke perigi itu jauh ke dalam kebun getah terbiar. Perigi itu sekarang jadi tempat penduduk sekitar buang sampah macam botol pecah dan mentol lampu yang sudah rosak. Kawasan sekitar pernah gempar sejak ayah Anisah jumpa janin dalam perigi itu. Janin itu sudah tidak bernyawa tapi kain balutannya masih baru, seperti baru disalin.

    Mengikut kata orang tua-tua, kawasan itu keras, perkampungan orang bunian. Janin itu juga tidak dapat disahkan siapa ibunya sehinggalah peristiwa itu beransur pergi dan dilupakan semua.

    Pak Mail jumpa Anisah terbaring lesu dalam perigi buta itu semasa mengheret pulang kambing-kambingnya dari padang ragut. Basikal Anisah bertongkat di tepi, tiada tanda-tanda Anisah terjatuh. Pak Mail bawa Anisah pulang ke rumahnya. Peliknya, setiap kali tersedar Anisah meracau-racau macam orang gila.

    Sedang asyik aku mendengar perbualan orang-orang di situ, kedengaran suara riuh di dalam rumah. Mak Anisah dan beberapa wanita pertengahan umur resah menenteramkan Anisah yang tiba-tiba tersedar. Kami naik ke atas rumah untuk melihat sendiri. Anisah terbaring lesu. Mukanya cengkung dan matanya lebam. Dia asyik mengulangi perkataan

    “Pergi kau! Pergi kau!” sambil memandang ke penjuru pintu. Kami panik. Pertama kali aku berhadapan situasi begitu. Semalam Anisah ceria, malah dialah pelajar perempuan paling menyerlah di kalangan rakan-rakannya. Tapi hari ini Anisah yang kukenal jauh berbeza.

    Seketika kemudian, keadaan menjadi reda. Nafas Anisah yang turun naik tadi kembali tenang. Anisah mula mengorak bicara.

    “Nisah kena tarik dengan dia. Kuku dia panjang.”

    Kami terkesima.

    “Siapa dia Anisah?” ujar mak Anisah penuh hairan.

    “Dia tu lah,” jawab Anisah sambil mengunjukkan jari telunjuknya ke atas siling.

    “Ish, mana ada orang kat atas tu.” balas emak Anisah lembut sambil mengusap-ngusap dahi anak bongsunya itu.

    “Ada mak. Dia tengah pandang kita. Kat mana-mana pun dia ada.”

    Isi perutku mula berkeriau, meremang bulu romaku mendengar tutur kata Anisah tadi. Kami semua berpandangan tanpa mampu berkata apa-apa.

    Kemudian aku dan rakan-rakan meminta diri kerana hari sudah lewat petang. Kami berbasikal pulang tanpa sebutir kata pun keluar. Sampai di simpang besar, aku berpecah dari kumpulan kerana haluan ke rumahku berbeza. Aku pecut selaju mungkin.

    Masa itu maghrib sudah masuk, aku dengar azan di rumah Anisah tadi. Tetapi pelik, malam itu lampu jalan tidak terpasang. Imaginasiku mula liar membayangkan segala macam rupa bentuk lembaga yang menakutkan. Tiba-tiba botol airku terjatuh dari beg galasku. Di saat-saat genting itu, aku lebih rela untuk tidak berhenti tetapi memecut lebih laju. Malam itu, aku langsung tidak dapat melelapkan mata.

    Esoknya, perkhabaran tentang sakit Anisah menjadi buah mulut semua. Cikgu-cikgu sibuk mengaturkan derma dan segala bentuk sumbangan untuk Anisah. Begitulah hari-hari yang berlalu hingga sebulan lamanya Anisah sakit. Dan setiap hujung minggu juga aku tidak lupa melawatnya. Anisah pula tiada langsung tanda-tanda untuk beransur pulih.

    Sudah sebulan dia tidak ke sekolah. Dalam masa dua bulan lagi, UPSR bakal menyusul. Aku cukup risau pasal Anisah, kerana aku amat terasa ketiadaannya di sekolah. Kalau dulu, dialah yang mengarang teks ucapanku sebagai pengerusi majlis merangkap ketua pengawas untuk perhimpunan pagi di sekolah.

    Dialah juga yang mengambil kapur di pejabat setiap pagi untuk bagi pihakku sebagai ketua kelas. Malah, dialah sebenarnya yang membuat semua kerja untuk jawatan yang ku pegang di sekolah ini. Aku amat mengharapkan Anisah supaya cepat sembuh.

    Saban hari, Anisah terus terbaring lesu tidak bermaya. Doktor mengesahkan tiada apa-apa penyakit menimpanya, kecuali tekanan darahnya terlalu rendah. Mungkin sebab dia selalu tidak lalu makan.

    Pak Teh juga telah tiga kali dipanggil untuk berubat. Aku sempat melihat dia berbomoh. Aku masih menganggap dia karut, dia membakar kemenyan, sambil membaca ayat-ayat yang bukan kukira ayat Al-Quran.

    Pak Teh bomoh terkenal di kampungku, sampai orang dari daerah lain pun turut datang berubat dengannya. Menurut kata atuk, Pak Teh bela jin. Jin peliharaannya ditambat di busut di belakang rumahnya. Pak Teh bagi makan jin itu perut ayam. Kalau tak diberi makan, jin itu mengganas dan makan ayam orang kampung. Reban ayam di rumahku juga pernah dimasukinya.

    Ayah beritahuku musang masuk reban itu, tapi musang tak makan perut sahaja. Aku pernah tengok, musang hanya meninggalkan bulu-bulu pelepah sahaja apabila meratah ayam. Kadang-kadang aku takut untuk melihat muka Pak Teh. Giginya sentiasa merah, gusinya tidak lekang menguyah sireh. Tetapi kasihan juga apabila aku mengenangkan hidupnya sendirian tanpa isteri yang sudah lama pergi. Mungkin dia tiada rezeki untuk memiliki anak.

    Hari itu hari khamis. Aku masih ingat hari itu hari jadi Anisah. Bersama guru kelas, kami merancang untuk membuat kejutan untuk Anisah. Petang itu kami sekelas ke rumah Anisah. Masing-masing membawa buah tangan. Aku bawa seikat anggur dan seperiuk bihun goreng yang emak masak.

    Jamuan petang itu sungguh menyeronokkan. Kami menyanyikan lagu selamat hari lahir untuknya dan mendoakan supaya dia cepat sembuh. Anisah beberapa kali tertawa dengan usikan kami. Tetapi dia langsung tidak makan. Malah, dia kelihatan seperti sudah seminggu tidak makan.

    Anisah memanggil kami berhimpun sekelilingnya. Dia menzahirkan kegembiraan kerana memiliki sahabat-sahabat sejati yang sudi mengharung detik sukar bersama. Aku lihat dia menangis. Yang lain juga mula teresak-esak. Aku rasa hiba. Aku tidak menangis kerana aku percaya lelaki tidak patut menangis, walau usiaku masih belum akil baligh. Sebelum kami balik, Anisah berterima kasih lagi.

    “Nisah harap kita dapat jumpa lagi,” ujarnya sayu. Aku meneliti penuh makna maksud ungkapannya itu. Namun, aku percaya tiada apa yang tersurat di sebaliknya. Sekadar harapan untuk bertemu kami lagi.

    Esoknya, khabar yang memilukan hati diberitakan kepada kami. Anisah pergi buat selama-lamanya. Kali ini aku tidak mampu menahan genangan air mataku daripada terus bertakung lagi. Kulepaskan sepuas-puasnya.

    Maka, pergilah dari sisiku seorang sahabat yang amat memahami. Walaupun masih belum mengenal erti cinta ketika itu, aku amat kasihkan Anisah sebagai seorang teman rapat.

    Sekarang sudah 10 tahun peristiwa ini berlaku, namun masih kekal di ingatanku. Malah, akan kekal selama-lamanya sehingga akhir hayatku.

    Al-fatihah untuk allayarhamah, semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda