Kejadian bebola api misteri dirungkai

Oleh Ak Zaki Kasharan

Pada penghujung bulan Januari lalu, berlaku kejadian bebola api misteri yang diiringi oleh letupan kuat dan dilaporkan jatuh ke bumi.

Berikutan dengan laporan tersebut, Persatuan Astronomi Brunei Darussalam (PABD) telah menjalankan siasatan terhadap kejadian tersebut.

Siasatan dijalankan oleh sekumpulan ahli PABD pada 7 Februari 2021 di mana mereka telah membuat pemerhatian lanjut di lokasi-lokasi yang dilaporkan berdasarkan video dan gambar meteor. Semasa siasatan tersebut, PABD juga bekerjasama rapat dengan Sabah Stargazers dengan sokongan sekumpulan peminat kereta tahan lasak yang dikenali sebagai Jimmy Sierra Brunei untuk berkongsi maklumat mengenai koordinat di langit meteor yang dilaporkan.

Pada masa ini, terdapat dua sumber utama bukti berdasarkan dua rakaman dashcam yang secara tidak sengaja menangkap meteor pada masa yang sama iaitu satu rakaman diambil dari Kampung Kulapis, Brunei Darussalam dan satu lagi dari Penampang, Sabah.

Maklumat yang diberikan adalah untuk mengumpulkan bukti yang kukuh bagi menentukan ciri-ciri fizikal meteor tersebut dan lokasi tempat ia jatuh, yang kemudiannya didukung dengan statistik daripada saksi lain.

Ahli PABD bersama komuniti Jimny Sierra Brunei semasa menjalankan penyiasatan di lokasi yang dilaporkan berlakunya kejadian bebola api misteri yang jatuh ke bumi. – Gambar serahan PABD.

Pada masa kejadian, kecerahan bebola api sukar dianggarkan kerana cahaya matahari yang terang.

Namun kecerahan bebola api biasa-nya diukur dari magnitud -5 (bersamaan dengan planet Zuhrah) sehingga magnitud -10 (cahaya yang dihasilkan oleh bulan suku illuminated).

Berdasarkan rakaman video oleh seorang saksi, Awang Abdul Wafiy bin Haji Rudzi, cahaya daripada bebola api dianggarkan berada pada magnitud -13 yang bersamaan dengan cahaya yang dihasilkan oleh bulan penuh. Ia menjadikan peristiwa itu sangat jarang berlaku dan sangat istimewa.

Kebanyakan meteor pada lazimnya berdiameter satu milimeter atau kira-kira sebutir pasir akan mempunyai keupayaan untuk menghasilkan kilauan cahaya di langit. Tetapi bebola api terang yang dilihat pada Januari lalu itu mempunyai ukuran lebih besar iaitu sebesar bola besbol hingga sesuatu yang lebih besar seperti sebuah kereta kecil.

Analisis awal yang dijalankan oleh PABD telah menentukan anggaran lokasi letupan meteor yang berlaku di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira 30 kilometer dari Bandar Seri Begawan, berhampiran Teluk Brunei dan barat daya Pulau Labuan.

Berdasarkan sudut ketinggian, kedudukan bebola api apabila letupan sengit berlaku dikira kira-kira 35 km tinggi di atas tanah.

Apabila meteor yang bergerak menembusi atmosfera bumi pada kelajuan yang luar biasa, pada ketinggian di bawah 60 kilometer dan meletup sebagai bolide, terdapat peluang yang tinggi bagi meteor tersebut mencetuskan ledakan bunyi yang kuat (sonic boom) yang boleh didengar oleh penduduk bumi.

Instrumen Pemetaan Kilat Geostationary (GLM) NASA berdasarkan satelit cuaca GOES telah mengesan bebola api yang bergerak pada halaju 14kmsj, iaitu kira-kira 40 kali kelajuan bunyi dengan impak tenaga radiasi di atmosfera bersamaan 720,000 tan TNT di atas Brunei Darussalam. Maklumat ini telah dilaporkan oleh Pusat Near-Earth Object Studies, Jet Propulsion Laboratory, California Institute of Technology dalam laman sesawangnya.

Dalam hal ini, Pertubuhan Meteor Antarabangsa (IMO) juga telah mengesahkan dan mengkatalogkan insiden yang berlaku tersebut sebagai Acara 632-2021 di laman web mereka. Selain ledakan bunyi yang didengar oleh ratusan warganet melalui media sosial, terdapat 11 laporan yang disahkan mengenai peristiwa yang telah disaksikan dari Daerah Belait, Daerah Brunei dan Muara dan Sabah pada Ahad, 31 Januari 2021 sekitar 03:02 UT atau 11:02 pagi waktu tempatan. Walau bagaimanapun, status trajektori dan impak meteor belum dikesan kerana data yang belum mencukupi.

IMO menganalisis maklumat meteor yang disediakan oleh saksi awam dalam talian yang boleh digabungkan dengan saksi mata lain untuk memberikan anggaran yang baik trajektori bebola api, untuk membantu menentukan sama ada meteorit tersebut jatuh ke bumi benar-benar berlaku dan memungkin ia dapat dikesan.

Sejak tahun 2005, IMO telah menerima kira-kira 224,000 laporan bebola api dari seluruh dunia, atau purata 15,000 laporan setiap tahun. Hanya bebola api yang sangat sedikit berkaitan dengan meteorit jatuh ke bumi.

PABD mengalu-alukan bagi perkongsian data dan maklumat kepada komuniti saintifik antarabangsa dan serantau yang berminat untuk menjalankan penyelidikan lanjut mengenai meteor tersebut.