Kejadian mesej tular masih dalam siasatan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Mesej tular mengenai kes positif COVID-19 dalam kalangan kakitangan Pusat Kesihatan Jubli Perak Sengkurong telah disahkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar yang menyatakan bahawa siasatan sedang dilaksanakan.

Ujian swab dan kuarantin bagi kontak-kontak yang terlibat turut dilakukan sebagaimana garis pandu pengendalian kes yang ada pada masa ini.

“Kementerian Kesihatan meyakinkan orang ramai bahawa pembersihan persekitaran di dalam bangunan pusat-pusat kesihatan dan fasiliti-fasiliti kesihatan yang lain dijalankan mengikut jadual yang telah ditetapkan,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

“Orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi segala arahan-arahan bagi mengawal penularan COVID-19 seperti melakukan amalan kebersihan tangan dan penjarakan fizikal,” tambah beliau.

Selain itu, beliau juga menegaskan kepada sesiapa yang mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan untuk mendapatkan rawatan dan ujian swab dengan segera.

“Untuk makluman orang ramai seterusnya, pada masa ini, perkhidmatan-perkhidmatan di Pusat Kesihatan Jubli Perak Sengkurong adalah berjalan seperti biasa,” tambah beliau.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Dato juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya akan maklumat-maklumat dan berita yang disebarkan melalui Internet atau melalui media-media sosial tanpa memastikan kesahihannya.