Kejadian pokok tumbang, kebakaran rumah meningkat

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Sebanyak 31 panggilan pokok tumbang dan empat kebakaran rumah telah direkodkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam tempoh seminggu, dari 18 hingga 24 Julai.

Kebanyakan pokok-pokok yang tumbang telah rebah keseluruhan atau sebahagian di jalan-jalan raya utama dan simpang-simpang kecil, ia juga menghempap sebahagian struktur kawasan rumah, melibatkan beberapa buah kereta yang terkena pokok tumbang, sebuah kereta merempuh sebatang pokok tumbang yang mengakibatkan dua orang cedera ringan serta tidak melibatkan sebarang korban jiwa.

Manakala itu, JBP dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, turut menyatakan bahawa terdapat peningkatan dalam insiden kebakaran rumah sepanjang tempoh seminggu kebelakangan dengan jabatan berkenaan menerima empat panggilan insiden kebakaran rumah dan satu panggilan insiden kebakaran elektrik yang dipercayai daripada lebih beban di bahagian papan pembahagi dan pendawaian yang tidak teratur.

Kenyataan menyatakan bahawa punca-punca kebakaran rumah yang dilaporkan berkenaan juga dipercayai berpunca daripada kepanasan berlebihan semasa mengecas dua telefon bimbit yang diletakkan atas tilam, dipancar kilat pada bahagian atap rumah serta kerosakan motor kipas peti sejuk.

Kejadian-kejadian berkenaan telah menyebabkan kerugian yang dianggarkan kira-kira $160,300, menjejaskan seramai 33 orang penghuni iaitu 26 orang warga tempatan dan tujuh orang warga asing serta menyebabkan seorang mangsa cedera.

Salah satu insiden kebakaran dilaporkan antara 18 hingga 24 Julai lalu.
Sebuah kereta dihempap pokok tumbang dalam salah satu kejadian.

Dalam hubungan itu, JBP menyarankan orang ramai supaya lebih peka dan mengetahui maklumat mengenai aspek keselamatan kebakaran di rumah, memastikan supaya tidak menggunakan terlalu banyak pemakaian elektrik iaitu lebih beban pada satu soket, memastikan pendawaian dalam keadaan baik dan membuat pemeriksaan
dengan syarikat yang bertauliah dan diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik, memastikan untuk menutup suis mana-mana peralatan elektrik selepas menggunakannya atau meninggalkannya dalam masa yang lama serta memastikan rumah mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api, selimut api dan alat pengesan asap.

JBP juga menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam sekarang berada dalam musim barat daya di mana keadaan angin secara amnya bertiup dari arah barat daya dan keadaan atmosfera pada kebiasaannya agak stabil dan aktiviti kejadian ribut petir menjadi berkurangan jika dibandingkan semasa monsun peralihan pada April dan Mei.

Musim barat daya biasanya akan berterusan sehingga September. Semasa kemuncak musim ini iaitu sekitar Ogos, negara biasannya akan mengalami keadaan berjerebu disebabkan cuaca kering di rantau Asia Tenggara.

Orang ramai juga disarankan untuk mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian tanah susur serta pokok tumbang semasa keadaan berangin.

JBP menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tahu akan keselamatan mengenai pokok tumbang semasa keadaan cuaca tidak menentu.