Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejar Chelsea lebih utama – Pochettino

    LONDON, 14 April – Tottenham Hotspur mempunyai sasaran lebih besar berbanding menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di atas Arsenal musim ini, kata pengurus Spurs, Mauricio Pochettino (gambar) yang kini berusaha keras untuk merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Chelsea.

    Kali terakhir Tottenham mengatasi Arsenal ialah pada tahun 1995, tetapi kini meninggalkan pesaing utara London itu dengan kelebihan 14 mata, walaupun bermain lebih satu perlawanan berbanding anak buah Arsene Wenger.

    Perlawanan di gelanggang sendiri menentang Bournemouth esok akan memberikan peluang buat Tottenham untuk merapatkan jurang dengan Chelsea kepada empat mata dan ia satu-satunya perkara yang berada dalam fikiran Pochettino pada masa ini.

    “Saya rasa kami bermain dan berjuang untuk sesuatu yang lebih besar,” kata pengendali dari Argentina itu.

    “Jika kita melihat gambaran lebih besar, ia berkenaan merapatkan jurang dengan Chelsea. Saya rasa hari ini ia tidak lagi penting memikirkan jurang dengan Arsenal.

    “Apa yang paling penting ialah melakukan tugas kami, cuba memenangi perlawanan dan cuba merapatkan jurang dengan Chelsea.”

    Spurs menghampiri Chelsea hujung minggu lalu apabila membelasah Watford 4-0 di White Hart lane, tetapi skuad kendalian Antonio Conte kembali menjarakkan diri kepada tujuh mata selepas menang 3-1 di Bournemouth.

    Namun dengan Chelsea berdepan cabaran besar di Old Trafford, bertemu Manchester United, satu lagi kemenangan Spurs di laman sendiri akan menambah tekanan ke atas pendahulu liga itu.

    Sekiranya Spurs berjaya meraih tiga mata esok, mereka akan memenangi tujuh perlawanan berturut-turut buat pertama kali sejak era Liga Perdana 1992. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda