Kejar masa, demi selamatkan nyawa

ISTANBUL – Selepas menerima panggilan kebakaran di Istanbul, bandar paling sesak di Turki, biasanya mengambil masa dua minit untuk anggota bomba bersiap sedia, menaiki jentera bomba dan memecut ke jalan raya.

Walau bagaimanapun, mereka mungkin tersesat di jalan-jalan kecil dan terpaksa berpatah balik untuk mencari laluan alternatif, yang memakan masa berharga. Kira-kira 145 anggota bomba bekerja di daerah Avcilar di bandar ini dan kawasan bersebelahan dengannya. Mereka perlu bertindak terhadap purata 15-20 insiden sehari, atau 60 semasa hujan lebat atau cuaca ribut.

“Ada ketikanya kami pergi dari satu kejadian kebakaran ke satu kejadian kebakaran tanpa berpatah balik ke balai,” Fuat Elkiran, penolong ketua di Jabatan Bomba Avcilar, memberitahu Xinhua.

Masalah terbesar yang mereka hadapi di kota besar dengan lebih 16 juta orang ini ialah ‘kesesakan lalu lintas dan tabiat orang Istanbul meletakkan kereta di tempat yang salah,” katanya.

Beliau percaya Istanbul dengan populasi 20 juta termasuk pelarian, boleh menghadapi insiden kebakaran dan bencana dengan lebih baik berkat kehadiran anggota bomba sukarela.

Fuat Elkiran, penolong ketua di Jabatan Bomba Avcilar ketika ditemui pemberita. – Xinhua
Gambar menunjukkan Balai Bomba Avcilar yang terletak di Istanbul, Turki. – Xinhua

Elkiran berkata terdapat 20 balai bomba sukarela di seluruh Istanbul, tetapi keperluan untuk perkhidmatan memadam kebakaran semakin meningkat setiap hari.

“Balai sukarelawan baharu boleh dibuka… di kawasan yang tidak dapat kami capai atau sukar untuk sampai,” katanya merujuk kepada kawasan kejiranan lama dengan jalan yang sempit dan bangunan kayu bersejarah, seperti Karakoy, di mana terletaknya Menara Galata yang ikonik.

“Sukar untuk masuk, sukar untuk keluar. Meletakkan hos dan campur tangan dalam kebakaran dari jauh adalah penyelesaian terbaik untuk lokasi seperti ini,” tambah Elkiran.

Menurut Jabatan Bomba Istanbul, tidak ada pasukan bomba di bandar itu sehingga 1714, dan setiap isi rumah perlu mempunyai tangga untuk mencapai bumbung rumah dan tong besar berisi air untuk digunakan sekiranya berlaku kebakaran.

Pada tahun 1923, sebuah jabatan bomba telah ditubuhkan, dengan peralatan dan kenderaan baharu. Kini, terdapat kira-kira 170 balai bomba di seluruh bandar, termasuk yang berada di Kepulauan Putera di Laut Marmara.

Yusuf Muntazam merupakan pelajar sekolah vokasional maritim yang sedang menjalani latihan di balai bomba Avcilar. Yang paling dia suka ialah suasana kekeluargaan di balai.

“Saya tidak sabar untuk menyertai Jabatan Bomba Istanbul apabila saya tamat sekolah,” katanya kepada Xinhua. Momen apabila dia menyelamatkan seorang kanak-kanak daripada kebakaran adalah yang paling diingati sepanjang latihan selama dua bulan.

“Saya masuk ke dalam rumah yang terbakar dan melihat kanak-kanak itu batuk akibat asap. Saya segera memeluknya, dan saya berasa begitu berani apabila dia memeluk saya dengan erat,” katanya.

Sevda Hanbas, seorang anggota bomba, adalah ahli pasukan lain di balai itu. Sudah tujuh bulan dia menamatkan pengajian sebagai ahli bomba profesional. Salah satu cabaran pekerjaannya ialah menggunakan pakaian dan peralatan yang berat, berkemungkinan seberat 20kg, katanya.

“Suami saya juga seorang bomba…saya harap kami akan meneruskan profesion ini secara berganding bahu pada masa akan datang,” katanya sambil menyeru lebih ramai wanita menyertai Jabatan Bomba Istanbul sama ada secara profesional atau sukarela.

Turki telah memerangi kebakaran hutan besar-besaran pada Julai dan Ogos di beberapa bandar peranginan pantai selatan dan barat daya yang memusnahkan alam semula jadi dan membunuh sekurang-kurangnya lapan orang dan banyak haiwan.

Ramai anggota bomba, yang datang dari pelbagai bahagian negara, termasuk Istanbul, telah bekerja keras untuk mengawal kebakaran. – Xinhua