Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Pusat Belia Bandar Seri Begawan dengan kerjasama Universiti Teknologi Brunei (UTB) hari ini, telah mengadakan taklimat perusahaan dan literasi kewangan bagi lebih 200 orang pelajar UTB.
Taklimat yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Fasa 3, Universiti Brunei Darussalam (UBD) itu telah disampaikan oleh Ketua Unit Program Pembangunan Keusahawanan Belia, Pengiran Haji Kamal Ghadafi bin Pengiran Suhaimi.
Selain itu, taklimat literasi juga telah disampaikan oleh Presiden Persatuan Pelan Kewangan Brunei Darussalam (FPAB), Hajah Rayeidah binti Haji Bujang.
Dalam taklimat bertemakan ‘Minda Positif dan Kemahiran Keusahawanan’, Pengiran Kamal Ghadafi menyentuh mengenai kemahuan dan cita-cita masa depan seorang pelajar dengan menumpukan kepada minat serta kerjaya yang betul.
Katanya, usahawan yang berjaya mempunyai daya kreativiti untuk bukan sahaja mencipta, malahan untuk mengenali dan mengejar peluang yang harus diperoleh melalui usaha gigih untuk mencapai matlamat.

Individu adalah penting untuk menyesuaikan diri dengan perubahan kerana tiada satu cara yang tepat untuk mengendalikan perniagaan.
Menurut Pengiran Kamal Ghadafi lagi, dalam taklimat itu, mereka juga mengajar kemahiran berkomunikasi, motivasi dan penyelesaian dalam sesuatu perniagaan.
“Kalau diperhatikan kepada banyak perniagaan yang mula berniaga, mereka belum faham apa produk yang mereka jual dan biasanya semasa jualan ekspo, peniaga tersebut hanya akan berada sekali saja dan tidak akan berniaga lagi selepas itu.
“Jadi kami memberikan mereka maklumat mengenai bagaimana menjadi seorang pengusaha berjaya, bukan sahaja dapat menambah ilmu bahkan mengambil pengalaman untuk meningkatkan jualan perniagaan mereka dengan kos yang rendah,” tambahnya.
Sementara itu, Hajah Rayeidah dalam taklimatnya pula menyentuh bagaimana menggunakan harta atau wang. Ini termasuk pecahan keperluan seharian, simpanan untuk persaraan, komitmen seperti hutang rumah dan kereta, subsidi termasuk rawatan hospital dan sebagainya.