HERAT, Afghanistan – Pekerja-pekerja asing terlihat berasak di dalam sebuah teksi menuju hotel Four Seasons of Freedom di barat Afghanistan, merupakan sebahagian daripada warga Afghanistan yang terpaksa meninggalkan Iran setelah mengalami implikasi mata wang yang menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Seramai 442,344 warga Afghanistan telah kembali secara sukarela atau dihantar pulang dari Iran tahun ini, oleh kerana sekatan Amerika Syarikat (AS), yang mula disusun semula baru-baru ini, memacu rial dan aliran inflasi.
Mata wang Iran telah kehilangan kira-kira separuh nilainya berbanding dolar sejak Presiden AS Donald Trump meninggalkan perjanjian nuklear 2015 yang begitu penting pada bulan Mei lalu, mencetuskan penalti yang lebih berat terhadap republik Islam tersebut.
Bukan setakat menjejaskan kadar simpanan isi rumah warga Iran, bahkan juga menjejaskan pengiriman wang dari warga Afghanistan yang tidak mempunyai dokumen rasmi.
Warga Afghan yang merasa begitu terdesak dan tidak mempunyai pekerjaan telah melepasi sempadan berliang dengan Iran selama bertahun-tahun, untuk mencari pekerjaan dalam menampung kehidupan keluarga mereka yang berada di rumah atau negara asal mereka.
Kebanyakan keluarga-keluarga ini adalah golongan petani, yang kini menderita oleh kerana keadaan kemarau yang begitu teruk melanda Afghanistan, menimbulkan kesengsaraan yang disebabkan oleh konflik selama 17 tahun dan hanya bergantung kepada wang yang dikirim oleh ahli keluarga mereka dari luar negara.
Abdul Mussawir, yang telah pergi ke Iran tiga tahun lalu, biasanya memperoleh 18,000 afghanis sebulan (kira-kira AS$260) ketika bekerja di kilang kereta di Bandaraya Isfahan.
Mussawir, 22, mengirim wang kepada ibu bapanya dan juga sembilan adik-beradiknya di wilayah Parwan, melalui pendapatannya sebagai pemandu teksi.
Namun, selepas berlakunya kemerosotan dalam rial, pendapatan bulanannya didapati berkurangan kepada 6,000 afghanis.
“Saya mengirim hampir semua wang yang saya peroleh untuk menyara keluarga saya… (tetapi) ia tidak mencukupi,” kata Mussawir.
Selepas membawa teksi dari sempadan ke hotel Four Seasons of Freedom di bandar Herat, jaraknya kira-kira 140 kilometer, Mussawir berharap dia akan dapat mencari pekerjaan yang lebih baik di negara yang dilanda konflik itu.
“Ia tidak masuk akal untuk kembali ke sini tetapi saya perlu kembali juga,” katanya, yang kelihatan hampa.
Seramai 442,344 warga Afghanistan yang pulang dari Iran dalam tempoh tujuh bulan pertama pada tahun 2018 ini adalah lebih daripada dua kali ganda daripada jumlah bagi tempoh yang sama pada tahun 2017, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).
“Jumlah pemulangan warga Afghanistan dari Iran pada tahun 2018 ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata jurucakap IOM, Eva Schwoerer kepada AFP di Herat.
Angka itu termasuklah 191,056 sekumpulan pendatang yang pulang secara mendadak. Baki 251,288 telah dihantar pulang apabila Iran menguatkan kawalan sempadannya.
Antara yang dihantar pulang ialah Aleem Mohmini, 17, yang menghabiskan tiga bulannya bekerja di ladang tomato di bandar selatan Shiraz sebelum anggota polis menahannya.
Ketika dia duduk bersama pendatang bawah umur lainnya di pusat transit IOM untuk proses pengembalian di Herat, Mohmini memikirkan masa depannya di sebuah negara di mana pengangguran berleluasa.
“Saya tidak tahu apa yang perlu saya lakukan. Tidak ada seorang pun dalam keluarga saya yang mampu mendapatkan wang,” kata Mohmini, yang merupakan pencari nafkah untuk isi rumahnya di wilayah utara Baghlan.
IOM menjangkakan kebanjiran pengembalian pendatang ke Afghanistan ini akan berterusan apabila sekatan AS berlarutan yang menyasarkan akses Iran terhadap wang kertas AS, industri utama dan penjualan minyak memburukkan lagi masalah ekonomi negara itu.
Influks kemasukan bertalu-talu ini adalah ‘kesan langsung’ terhadap ekonomi Afghanistan, kata IOM dalam laporan terbaharunya.
Ia telah menurunkan upah buruh kasual yang berada di kawasan bandar raya dan ditambah dengan masalah kemarau yang melanda petani-petani Afghanistan, kebanyakan mereka telah lama bergantung kepada pendapatan dari saudara-mara mereka yang bekerja di Iran.
Lebih 70,000 orang terpaksa berpindah ke bandar oleh kerana kekurangan air dan makanan, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, dengan kebanyakan mereka tinggal di khemah sementara dan bersaing, dengan yang lain cuba untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang begitu terhad.
Kejatuhan mata wang Iran juga menjejaskan perniagaan warga Afghan di Herat yang sangat bergantung kepada hasil jualan telefon bimbit, beg galas dan kasut.
“Perniagaan begitu baik pada masa lalu… (orang) kebanyakannya kaya, mereka boleh membeli segala-galanya,” kata Zia Fahmi, yang jualannya menjunam lebih daripada 80 peratus dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Ketika mereka yang kembali pulang beransur-ansur berkurangan di luar kedainya itu, Fahmi berkata dia mungkin terpaksa menutup kedainya dan mengikuti jejak pendatang untuk mencari pekerjaan di ‘negara lain.’ Abdullah Wasi Zahariyan, yang menghabiskan masa setahun bekerja di ladang timun di Isfahan, juga memberitahu AFP bahawa dia merancang untuk pergi ke ‘negara lain’, kemungkinan Turki dan kemudian Jerman, jika dia tidak dapat mencari pekerjaan di Afghanistan.
Zahariyan, 22, memutuskan untuk pulang ke rumah atau negara asal selepas pendapatannya menjunam 60 peratus disebabkan oleh penurunan nilai rial itu.
“Jika tidak ada pekerjaan di Afghanistan, jadi tiada masa depan,” katanya kepada AFP. – AFP