Kejayaan China basmi kemiskinan mengagumkan

BEIJING, 25 FEB – Berkat perjuangan gigih selama lapan tahun, China berjaya membawa hampir 100 juta penduduknya keluar daripada belenggu kemiskinan, sekali gus merealisasikan matlamat pembasmian kemiskinan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Agenda Pembangunan Mampan 10 tahun lebih awal.

Pengarah Jabatan Asia-Pasifik Tabung Pembangunan Pertanian Antarabangsa (IFAD), Nigel Brett dalam satu temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) menyifatkan membasmi kemiskinan mutlak di China sebagai kejayaan bersejarah.

Menurut beliau, pencapaian sepantas itu tidak pernah berlaku di mana-mana negara lain.

Jelas Brett, menerusi penelitian terperinci beliau mendapati kejayaan China itu adalah hasil daripada beberapa faktor utama.

“Antaranya keutamaan yang diberikan kerajaan kepada kaum tani dan pembangunan luar bandar, serta amat menitikberatkan inovasi sains dan teknologi serta pembinaan infrastruktur. “Selain itu, interaksi yang rancak antara sektor pengeluaran dan pasaran juga menjadi pendorong kepada kejayaan tersebut”, ujarnya.

Beliau berkata kejayaan dan pengalaman China dalam mengurangkan kemiskinan turut dikongsi pelbagai negara di dunia.

IFAD juga berhasrat untuk mempertingkat kerjasama dengan China ke satu tahap baharu, tambah beliau. –Bernama

Orang ramai menyaksikan siaran langsung sambutan menandakan kejayaan negara membasmi kemiskinan selepas Presiden China, Xi Jinping mengisytiharkan negara mencapai ‘keajaiban manusia’ dalam membasmi kemiskinan tegar. –AFP