Kejayaan kereta nasional ketiga bergantung kepada model sesuai

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Projek kereta Nasional ketiga Malaysia adalah satu idea yang rasional jika ia mampu meningkatkan permintaan dalam subsektor, khususnya bagi komponen elektrik dan elektronik (E&E) tetapi kejayaannya bergantung kepada model yang sesuai, kata Datuk Yoon Chin Leong.

Veteran dalam teknologi itu berkata aspek logika idea adalah ia akan berkait rapat dengan komponen E&E, sekali gus mewujudkan projek kereta nasional yang akan menyediakan pasaran bagi sektor tersebut.

“Saya tidak mengatakan bahawa peneraju automotif tempatan tidak membeli sumber dari peserta domestik. Bagaimanapun, kebanyakan komponen-komponen yang dibeli terdiri daripada aspek mekanikal dan bukan elektronik, di mana, sekarang ini, komponen elektronik telah mengatasi bahagian mekanikal,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan sektor E&E dalam satu seminar mengenai E&E di sini hari ini.

Seminar itu dianjurkan oleh Bursa Malaysia Bhd dan Bank AmInvestment.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata kerajaan bakal melancarkan projek kereta nasional ketiga menjelang 2020 seperti yang digambarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad.

Kerajaan yakin bahawa projek ini dapat menggiatkan semula industri automotif negara.

Yoon, yang merupakan Pengarah Kluster Sains Pulau Pinang berkata kerajaan perlu melihat secara mendalam terhadap model kereta yang sesuai untuk memastikan daya majunya.

“Dan jika kita perlu membina kereta nasional yang ketiga, adalah lebih baik untuk kita fikirkan model sulungnya. Adakah ia bersifat elektrik sepenuhnya, automatik dan berapa banyak komponen elektronik yang perlu dipasang bagi menjadikan ia sebagai sebuah kenderaan moden,” kata Yoon lagi.

Beliau ketika memberi respons kepada soalan mengenai keupayaan peneraju E&E tempatan berkata majoriti peneraju tempatan sudah pun membekalkan komponen untuk pembuat automotif antarabangsa, oleh itu, keupayaan mereka tidak menjadi isu.

“Mereka sudah pun mengeksport komponen untuk pembekal automotif global, sama ada ke dalam kereta mewah atau kereta yang kos efektif. Kita hanya perlu mengintegrasikan kemahiran ini, kita perlu bekerjasama untuk membina keupayaan dan ekosistem yang diperlukan,” katanya. – Bernama