Oleh Salawati Haji Yahya –
Untuk menggenggam segulung syahadah (sijil) dalam ‘Aliyah Qiraat bukan sesuatu yang mudah, tanpa adanya semangat dan dorongan yang kuat daripada ibu bapa dan orang-orang terdekat ditambah dengan bimbingan tekad daripada para pensyarah, guru-guru dan ustaz dalam sama-sama mencapai impian yang diharapkan.
Ketekunan dan semangat yang sentiasa diterapkan dalam diri setiap graduan Diploma ‘Aliyah Qiraat, baru-baru ini, jelas terpancar di wajah setiap graduan rasa kepuasan dan kegembiraan apabila masing-masing berjaya menggenggam sijil yang diimpikan sepanjang tiga tahun tempoh pengajian di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).
Semasa temu bual dengan Awang Mohammad Mu’iz Hafzam bin Mazlan yang mendapat keputusan pangkat Mumtaz (cemerlang), melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana telah mengurniakan kejayaan yang sangat berharga dan merasa bangga atas usaha serta dedikasi yang telah diberikan sepanjang tempoh pengajian ini.
Menerusi kejayaan menamatkan pengajian dalam Diploma ‘Aliyah Qiraat, beliau akan terus bersemangat dalam mempelajari ilmu Al-Quran dan Al-Qiraat ke peringkat yang seterusnya.
Semasa ditemui, beliau turut mengongsikan kenangan dan cabaran sepanjang tempoh pengajian. Antara cabaran-cabaran pernah dihadapi adalah dalam memberikan komitmen kepada diri sendiri dari segi hafazan Al-Quran di mana ia wajib ditasmie’ secara bertalaqqi di hadapan guru dengan lancar dan konsisten.
Di samping itu, kesulitan dalam menghafal matan Al-Qiraat kerana matan ini telah dibuat oleh Imam As-Shatibi dan Imam Ibnu Al-Jazari yang menggunakan bahasa Arab yang berbentuk syair di mana perkataan yang dilontarkan dalam kitab tersebut sukar untuk dihafalkan.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, akan tetapi dengan keadaan sekeliling yang mempunyai cita-cita yang sama, matlamat dan halatuju hidup saya yang sama iaitu menjadi seorang penghafaz Al-Quran yang berkualiti tinggi, ia telah dapat membantu untuk menangani cabaran yang dihadapi.
“Adapun kenangan yang lainnya, saya telah diberikan peluang untuk berjuang sesama rakan-rakan yang telah bertungkus-lumus demi mencapai pencapaian yang cemerlang,” tambahnya.
Di sebalik kejayaan yang diperolehi ini, katanya, sudah setentutnya tulang belakang yang sentiasa tidak lepas memberikan sokongan dan doa restu, adalah ibu bapa yang dikasihi dan disayangi.
Katanya, “Dengan dorongan mereka yang sentiasa memberikan saya kata-kata semangat dan nasihat untuk saya teruskan sehinggalah berjaya menamatkan pengajian ini.”
Selain itu ialah bimbingan dan sokongan para pensyarah yang telah bersabar dalam mendidik dan mengajar saya untuk menjadi seorang penghafaz Al-Quran berkualiti tinggi, termasuk rakan-rakan yang turut berjuang bersama saya.
Sepanjang tempoh pengajian beliau telah dapat meningkatkan dan memantapkan mutu hafazan Al-Quran di samping dapat mempelajari ilmu Al-Quran serta ilmu Al-Qiraat dengan lebih mendalam lagi.
“Ia bukan setakat ilmu Al-Quran sahaja, malah ilmu yang berkaitan dengan Al-Quran iaitu Rasm Al-Quran, bahasa Arab, Ilmu Fawwasil dan lain-lain,” tambahnya.
Beliau seterusnya berharap agar diberikan peluang untuk menjadi tenaga pengajar di sektor kerajaan mahupun swasta, bagi menyumbangkan ilmu, khususnya, Ilmu Al-Quran dan Ilmu Qiraat kepada masyarakat sesuai dengan maltamatnya sebagai hamalatul Quran iaitu pembawa Quran.
Selain memupuk diri sendiri untuk menjadi seorang penghafaz Al-Quran berdaya tinggi serta berazam untuk menyebarkan ilmu Al-Quran dan Al-Qiraat ini kepada masyarakat Brunei Darussalam serta menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang maju dan berpendidikan tinggi demi mencapai Wawasan Negara 2035.
Sementara itu, semasa temu bual dengan Dayang Siddiqah @Siti Khadijah binti Haji Sufri yang menerima pangkat Jayyid (baik) ketika ditemui, selain memanjatkan syukur ke hadrat Allah, beliau turut mengongsikan disebalik kejayaan beliau di mana keluarga merupakan pendorong utama dalam kejayaannya.
“Mereka sentiasa memberikan semangat dan dorongan, walaupun dalam keadaan sukar.
Selain itu, rakan-rakan dan guru-guru juga banyak membantu serta menjadi sumber inspirasi untuk terus berusaha sehingga berjaya,” jelasnya.
Selain itu, sepanjang pengajian beliau bukan sahaja memperolehi ilmu dalam bidang Qiraat, malah memperolehi kemahiran dalam pengurusan masa, ketekunan dan disiplin diri.
Katanya, “Pengalaman bekerja dalam kumpulan dan belajar secara mendalam tentang pelbagai jenis Qiraat memberikannya pemahaman yang lebih luas serta mendalam dalam bidang ini.”
Walaupun berhadapan dengan cabaran sepanjang pengajian di mana antara cabaran terbesar adalah mengimbangi masa antara belajar, tugasan, dan latihan Qiraat yang memerlukan banyak latihan praktikal.
Beliau turut mengongsikan di mana ada masanya menghadapi tekanan, namun dengan sokongan rakan-rakan dan pensyarah, beliau dapat mengatasi cabaran tersebut.
Selain menjelaskan, untuk terus fokus dalam pelajaran adalah penting untuk mempunyai jadual yang teratur dan disiplin yang tinggi.
“Dalam bidang Qiraat, konsistensi dalam latihan dan pembelajaran adalah kunci, selain mengulang kaji secara berkala dan mendapatkan bimbingan daripada guru-guru yang berpengalaman juga sangat membantu,” jelasnya.
Dengan diploma yang diperolehi ini, beliau berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau menjadi guru untuk berkongsi ilmu yang telah dipelajari.
“Saya juga berminat untuk terlibat dalam bidang penyelidikan pembangunan Islam, agar dapat menyumbang kepada pengembangan ilmu ini pada masa hadapan,” tambahnya.