Kejayaan persidangan WTO penting untuk bangun ekonomi

BEIJING, 10 OKT – Menteri Perdagangan China, Wang Wentao berkata kejayaan Persidangan Menteri-Menteri Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) ke-12 (MC12) amat penting bukan sahaja kepada pertubuhan itu malah pembangunan ekonomi sejagat.

Beliau berkata untuk memastikan kejayaan dapat direalisasikan pihak-pihak terlibat menyegerakan usaha yang berkaitan dengan menumpukan bidang-bidang berpotensi bagi mencapai konsensus.

“MC12 diharap memberikan isyarat positif yang menyokong sistem perdagangan multilateral dan mencapai perjanjian berhubung subsidi perikanan.

“Selain itu MC12 diharap dapat membuat keputusan mengenai pengecualian hak harta intelek vaksin COVID-19, serta membawa kemajuan dalam isu-isu penting seperti pertanian dan pembaharuan Badan Rayuan WTO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan perbincangan secara maya dengan Ketua Pengarah WTO, Ngozi Okonjo-Iweala mengenai persiapan MC12 serta pembaharuan WTO, pada Jumaat.

Dalam pada itu, China akan terus aktif menyertai perbincangan berkenaan dan memainkan peranan konstruktif dalam proses persiapan persidangan.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-20 keanggotaan China dalam WTO.

Wang berkata, selaku pembela sistem perdagangan multilateral, China akan terus menyokong usaha yang dibuat Okonjo-Iweala dan sekretariat WTO, di samping mempertahankan kewibawaan serta keberkesanan WTO. – Bernama