Tuesday, March 25, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejayaan signifikan

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Bidang kesihatan Negara Brunei Darussalam telah menempa sejarah apabila berjaya melaksanakan prosedur trombektomi mekanikal (pembuangan darah beku) buat pertama kalinya di negara ini bagi penyakit strok pada 13 Julai lalu.

    Prosedur bersejarah itu dibuat terhadap pesakit berusia 33 tahun, Hii Hin Chung, hasil daripada usaha dan kerjasama di antara Pusat Pemulihan dan Strok Neurosains Brunei (BNSRC) dan Jabatan Radiologi, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Kementerian Kesihatan.

    Dengan kejayaan prosedur berkenaan, ia merupakan langkah yang amat signifikan dalam usaha untuk meningkatkan bukan sahaja keupayaan bidang kesihatan negara tetapi membantu memberikan satu lagi perkhidmatan serta rawatan kesihatan yang penting dalam pengurusan strok setanding dengan negara-negara maju di dunia.

    Kejayaan dan signifikannya dikongsi oleh Pengarah BNSRC dan Konsultan Neurologi, Dr Dayangku Siti Nur’Ashikin binti Pengiran Dato Paduka Haji Tengah semasa sidang media mengenai kejayaan prosedur trombektomi pertama dilakukan di Brunei yang berlangsung di Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), Jerudong, hari ini.

    Turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar dan Konsultan Radiologi, Hospital RIPAS, Dr Sankarakumar Sambandamurthy.

    Dr Dayangku Siti Nur’Ashikin (tiga, kanan), Dr Mazrul Adimin (dua, kanan), Dr Sankarakumar Sambandamurthy (tengah), Hii Hin Chung (tiga, kiri) dan pegawai-pegawai perubatan dari PJSC bergambar ramai selepas sidang media yang berlangsung di PJSC, Jerudong, hari ini.
    Dr Dayangku Siti Nur’Ashikin (tengah), Dr Mazrul Adimin (kiri) dan Dr Sankarakumar Sambandamurthy memberikan penerangan kepada pihak media semasa sidang media mengenai kejayaan prosedur trombektomi pertama dilakukan di Brunei yang berlangsung di Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC), Jerudong, kelmarin.

    Dr Dayangku Siti Nur’Ashikin berkata, strok merupakan penyakit teruk yang boleh membunuh dan menjadi penyebab kematian keempat utama di Negara Brunei Darussalam selepas penyakit kanser, jantung dan diabetes.

    Selain kematian, jelasnya lagi, strok boleh menyebabkan seseorang hilang upaya termasuk sebahagian anggota terjejas, kelemahan pada tangan, kaki atau kesukaran untuk bertutur dan perkara itu akan menyebabkan mereka kehilangan upaya untuk bekerja dan berinteraksi.

    Jelasnya lagi, dengan kemajuan dalam bidang sains dan rawatan untuk strok, lebih banyak perkara yang boleh dilaksanakan untuk membantu mereka yang menghidap strok, dapat mencegahnya serta lebih banyak rawatan bagi mangsa strok.Jelasnya lagi, dengan kemajuan dalam bidang sains dan rawatan untuk strok, lebih banyak perkara yang boleh dilaksanakan untuk membantu mereka yang menghidap strok, dapat mencegahnya serta lebih banyak rawatan bagi mangsa strok.

    Pada masa yang sama, beliau menekankan adalah amat penting untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat bagi mencegah strok tetapi jika ia menyerang adalah amat penting bagi pesakit itu untuk mendapatkan nasihat atau rawatan segera di hospital bagi membolehkan ia dirawat dengan segera.

    Sering kali, ulasnya, terdapat pesakit yang lambat mendapatkan bantuan awal apabila berlakunya strok kerana mereka kurang memahami akan simptom strok berkenaan.

    Jika mereka mendapatkan rawatan awal, bantuan dapat diberikan sesuai dengan jenis strok yang dikesan dan dengan adanya prosedur trombektomi, ia menyediakan pilihan baharu bagi rawatan strok yang boleh mengurangkan secara signifikan bukan sahaja kematian tetapi juga kehilangan upaya dalam kalangan pesakit strok.

    Semasa sidang media itu juga, Dr Dayangku Siti Nur’Ashikin memberikan penerangan mengenai kisah kejayaan prosedur trombektomi mekanikal pertama di Brunei di mana ia dilakukan dengan jayanya ke atas, Hii Hin Chung pada 13 Julai lalu.

    Pada 13 Julai lalu, Hii yang bertugas sebagai seorang jurujual alat ganti kereta ditemui oleh rakan setugasnya pada kira-kira pukul 2:30 petang mengalami kelemahan pada bahagian kiri tubuhnya.

    Beliau dibawa ke Hospital RIPAS menggunakan ambulans dan kemudian dipindahkan ke BNSRC untuk menerima imbasan yang mengesahkan berlaku strok di sebelah kanan otaknya.

    Rawatan trombolisis yang diberikan telah menunjukkan kesan yang baik pada awalnya tetapi terdapat kebimbangan daripada imbasan otaknya yang menunjukkan adanya sekatan pada aliran darahnya.

    Beliau kemudian dibawa ke hospital dengan diiringi oleh Pegawai Perubatan Neurologi, BNSRC, Dr Chan Guan Choon, yang melaporkan bahawa percakapan Hii tidak jelas dan kaki serta tangan kirinya lemah.

    Semasa di sana, Hii menjalani angiografi yang dilakukan oleh Dr Sankarakumar Sambandamurthy serta dibantu oleh Konsultan Radiologi dan Ketua Jabatan Radiologi, Dr Lim Kian Chai di mana mereka berjaya untuk mengenal pasti darah beku serta berjaya untuk mengeluarkannya menggunakan alat penyedut khas.

    Selepas itu, Hii dipindahkan balik ke BNSRC di mana beliau dipantau di bawah Unit Jagaan Rapi Neuro pada mulanya dan kemudian dipindahkan ke Wad Neurologi bagi rawatan lanjutnya dan pemulihan.

    Beliau telah menunjukkan pemulihan yang baik dan dibenarkan untuk pulang di mana kini beliau boleh menggunakan tangan kirinya dengan baik serta mampu untuk bergerak dengan bebas.

    Beliau terus mendapatkan rawatan pemulihan pesakit luar dan dipantau di Klinik Neurologi.

    Dr Dayangku Siti Nur’Ashikin menyatakan lagi bahawa kejayaan prosedur itu menunjukkan kejayaan rawatan strok menerusi tindakan awal, tenaga kerja yang berkemahiran serta kerjasama erat dan baik di antara institusi penjagaan kesihatan di Brunei.

    Pada masa yang sama, beliau menyatakan penghargaan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas sokongan bagi usaha yang secara langsung memberikan manfaat kepada pesakit-pesakit yang memerlukan rawatan untuk strok.

    Dalam pada itu juga, beliau turut menekankan bahawa perlunya untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai masalah penyakit strok dari segi faktor risiko, mengenali tanda atau simptom awal strok, mendapatkan rawatan awal jika berlakunya strok serta pencegahan daripada berlakunya strok.

    Ke arah itu, ulasnya, BNSRC dan Kementerian Kesihatan akan terus bekerjasama dengan lebih erat dalam usaha berterusan untuk membanteras strok dan pada tahun ini merancang akan melancarkan kempen yang menyasarkan serta menekankan kepada pencegahan strok dan rawatan awal strok.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda