JOHOR BAHRU, 15 JUN – Kejayaan skuad bola sepak kebangsaan Malaysia melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023 setelah mengalahkan Bangladesh 4-1, pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin, amat bermakna buat negeri Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kejayaan tersebut membawa 1001 makna kepada negeri Johor kerana 15 pemain dan bekas pemain Johor Darul Ta’zim FC (JDT) membarisi skuad Harimau Malaya.
“Tahniah saya ucapkan atas kejayaan skuad bola sepak kebangsaan Malaysia selepas berjaya menamatkan penantian selama 42 tahun untuk layak ke Piala Asia.
“Saya sangat bersyukur kerana Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletakkan batu asas kepada pembangunan bola sepak Malaysia. Menjunjung kasih Tuanku.
“Tanpa usaha dan sokongan berterusan daripada baginda untuk merevolusikan bola sepak dari pelbagai aspek, saya percaya bola sepak Malaysia tidak akan sampai ke tahap ini di mana penantian empat dekad berakhir,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya hari ini.
Onn Hafiz juga berkata tahun ini merupakan tahun paling membanggakan buat rakyat negeri Johor apabila JDT berjaya melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Liga Juara-Juara Asia buat kali pertama dan kini, majoriti pemain JDT adalah mereka yang membawa skuad kebangsaan Malaysia layak ke Piala Asia. – Bernama