Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Kejayaan tawan K2 hadiah sempena hari kebangsaan

    SEPANG, 4 OGOS – Kejayaan menakluk puncak kedua tertinggi dunia iaitu K2 di Pakistan adalah hadiah pendaki solo negara yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), T. Ravichandran, untuk Malaysia sempena Hari Kebangsaan ke-65 tahun ini.

    Ravichandran, 57, yang dikenali sebagai Ravi Everest hari ini kembali ke tanah air selepas berjaya menawan puncak gunung setinggi 8,611 meter itu pada 10.50 pagi waktu tempatan, 22 Julai lepas bersama lima lagi pendaki solo terhebat dunia dengan diiringi lima sherpa.

    “Ia satu penghormatan untuk membawa dan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak K2 terutama sempena sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos ini,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

    Ravichandran yang disambut isterinya Leela Ramamurthy berkata menjadi pendaki pertama Malaysia berjaya menakluk K2 adalah antara cita-citanya yang berhasrat untuk menakluk 14 gunung tertinggi di dunia dalam tempoh tiga tahun.

    Beliau berkata K2 adalah ekspedisi keduanya tahun ini selepas berjaya menakluk Gunung Everest pada 12 Mei lepas.

    “Pengalaman menakluk K2 adalah ia tiga kali ganda lebih susah daripada gunung-gunung di Nepal sebab itu K2 dikenali sebagai ‘Gunung Pembunuh’.

    “Ini adalah cabaran terbesar pernah saya lalui kerana perjalanan hari terakhir menuju ke puncak dan balik dalam masa 24 jam, saya merangkak dan menangis.

    “Namun semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang  membolehkan saya berjaya,” katanya. – Bernama

    T. Ravichandran, 57, (dua, kanan) ditemu bual pemberita setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas kejayaan beliau menakluk puncak kedua tertinggi dunia iaitu K2 di Pakistan. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...