Kejohanan anjuran BBA hebat

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Khairil Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Feb – Sebanyak 15 perlawanan bola keranjang telah berlangsung bagi Kejohanan Bola Keranjang Antara Daerah anjuran Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) yang diadakan di Gelanggang Bola Keranjang BBA, Batu Bersurat sejak dirasmikan minggu lalu.

Menurut kenyataan BBA, kejohanan kali ini merupakan persiapan bagi menghadapi Piala Borneo Intercity dan kelayakan Piala Dunia Bola Keranjang FIBA yang akan berlangsung sehingga 13 Februari 2018 nanti.

Kejohanan kali ini menghendaki setiap daerah yang menyertai untuk menghantar lima orang pemain di bawah 23 tahun selaras dengan hasrat untuk mendedahkan golongan muda bergiat aktif dalam sukan bola keranjang di negara ini.

Pada hari kedua kejohanan menyaksikan Pasukan Lelaki Temburong memenangi pertandingan ke atas Pasukan Brunei Muara B dengan jaringan 73-69 manakala bagi Kategori Veteran pula menyaksikan Pasukan Temburong tewas di tangan Pasukan Brunei Muara A dengan jaringan 76-92.

Pada hari ketiga menyaksikan pembukaan tirai bagi kejohanan bola keranjang pada malam pembukaan Kategori Perempuan yang dimenangi oleh Pasukan Belia ke atas Pasukan Tutong dengan jaringan 71-70. Manakala, Pasukan Brunei Muara B terpaksa akur terhadap kekalahannya di tangan Pasukan Kuala Belait dengan jaringan 59-65.

Antara aksi pesaing dalam Kejohanan Bola Keranjang Antara Daerah anjuran BBA yang berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang BBA, Batu Bersurat.

Perlawanan diteruskan pada keesokan harinya dalam Kategori Veteran menyaksikan Pasukan Brunei Muara A menang ke atas Pasukan Tutong dengan jaringan 92-55 diikuti kemenangan Pasukan Lelaki Kuala Belait setelah menjinakkan Pasukan Brunei Muara B dengan jaringan 103-79 dan diakhiri dengan kemenangan tipis Pasukan Lelaki Tutong ke atas Pasukan Seria.

Kejohanan pada awal minggu ini menyaksikan Pasukan Veteran Temburong menghampakan Pasukan Brunei Muara B dengan kemenangan 74-72 dan Pasukan Lelaki Brunei Muara A menang selesa ke atas Pasukan Seria dengan jaringan 101-79.

Perlawanan kedua bagi Kategori Wanita pula menyaksikan kemenangan Pasukan Tutong ke atas Pasukan Brunei dan Muara dengan mata 95-73 dan pada hari yang sama menyaksikan Pasukan Lelaki Kuala Belait menundukkan Pasukan Tutong dengan menjaringkan 74-89,

Aksi hari keenam Kategori Veteran pula menyaksikan pertembungan antara Pasukan Kuala Belait menentang Pasukan Temburong yang berpihak kepada pasukan dari Kuala Belait dengan jaringan 72-59 dan satu lagi perlawanan berpihak kepada Pasukan Brunei dan Muara A setelah berjaya menumpaskan Pasukan Temburong dalam Kategori Lelaki.

Kejohanan yang diadakan semalam pula menyaksikan pertembungan dalam Kategori Wanita yang berpihak kepada Pasukan Belait setelah berjaya menundukkan Pasukan Brunei Muara yang berakhir dengan jaringan 51-48 dan Pasukan Lelaki Brunei Muara A pula menang tipis ke atas Pasukan Brunei Muara B dengan kutipan mata 78-79.

Kejohanan kali ini turut disertai oleh Kategori Lelaki dan Veteran menampilkan Pasukan  Brunei-Muara A, Brunei-Muara B, Tutong, Belait A-KB , Belait B – Seria dan Temburong.