Tuesday, April 22, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejohanan badminton berakhir

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Pasukan Gabungan JPPP/JPK/MKPK/Bahagian Biasiswa telah dinobatkan sebagai juara dalam Kejohanan Badminton sempena Hari Guru ke-28 Tahun 2018 bagi Kategori Berpasukan Lelaki setelah menewaskan Pasukan Gabungan JPKK/JSS/Swasta dengan keputusan 3-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Riadah Pusat Belia, di sini, malam ini.

    Manakala, bagi Kategori Berpasukan Wanita pula dijuarai oleh Pasukan Kluster 2 setelah menang 2-0 ke atas Pasukan Gabungan Chung Hwa/SMS yang terpaksa akur berada di tempat kedua.

    Tampil di tempat ketiga bagi Kategori Berpasukan Lelaki ialah Pasukan Gabungan Jabatan Pengajian Islam, manakala di tempat ketiga bagi Kategori Berpasukan Wanita pula disandang oleh Pasukan Kluster 1.

    Hadir bagi menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

    Turut hadir pada acara tersebut ialah timbalan setiausaha tetap, pemangku ketua pengarah pendidikan, ketua-ketua jabatan, pemimpin-pemimpin sekolah, para pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Kejohanan badminton yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum ini telah dibukakan kepada semua jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pendidikan dan KHEU, institusi pengajian tinggi, sekolah-sekolah menengah dan maktab-maktab, sekolah rendah mengikut kluster dan sekolah agama mengikut kawasan masing-masing.

    Antara tujuan kejohanan tersebut diadakan adalah bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai-pegawai, guru-guru dan kakitangan-kakitangan di Kementerian Pendidikan dan KHEU.

    Selain itu ia juga diharap agar dapat memberikan peluang kepada pegawai-pegawai, guru-guru dan kakitangan menunjukkan bakat serta kebolehan mereka dalam acara sukan badminton ini.

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati bergambar ramai bersama juara bagi Kategori Berpasukan Wanita, Pasukan Kluster 2 pada kejohanan tersebut.
    Kejohanan Badminton sempena Hari Guru ke-28 Tahun 2018 berakhir semalam dengan menyaksikan Pasukan Gabungan JPPP/JPK/MKPK/Bahagian Biasiswa telah dinobatkan sebagai juara bagi Kategori Berpasukan Lelaki dan Pasukan Kluster 2 bagi Kategori Berpasukan Wanita.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda