Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 14 April – Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Cawangan Daerah Tutong telah mengadakan peringkat akhir Kejohanan Badminton Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab Kluster 5 di Sekolah Menengah (SM) Sayyidina Othman, Tutong kelmarin. Kejohanan ini dikendalikan oleh SM Sayyidina Othman, Tutong selaku tuan rumah yang mana kejohanan diadakan selama tiga hari bermula 11, 12 dan 13 April 2017.
Hadir selaku tetamu kehormat di kejohanan tersebut ialah Ketua Kokurikulum Daerah Tutong, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Ajamain bin Haji Othman.
Perlawanan akhir kelmarin adalah melibatkan beberapa kategori, antaranya adalah Kategori B (Perseorangan Lelaki), Kategori B (Perseorangan Perempuan), Kategori B (Beregu Lelaki), Kategori B (Beregu Perempuan), Kategori C (Perseorangan Lelaki), Kategori C (Perseorangan Perempuan), Kategori C (Beregu Lelaki) dan Kategori C (Beregu Perempuan).
Kejohanan ini adalah bagi pemain perseorangan dan beregu yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori B bagi pelajar lelaki dan perempuan berumur 15 tahun ke bawah yang lahir pada tahun 2002 dan ke atas, dan Kategori C bagi pelajar lelaki dan perempuan berumur 16, 17 dan 18 tahun yang lahir pada tahun 1999, 2000 dan 2001 sahaja.

Bagi Kategori Lelaki B, sebanyak empat buah sekolah menengah kawasan Kluster 5 telah menyertai dan lima buah sekolah menyertai Kategori Lelaki C. Sementara itu bagi perempuan, sebanyak empat buah sekolah menyertai bagi kedua-dua kategori.
Turut hadir di kejohanan ini ialah pengetua-pengetua, timbalan-timbalan pengetua sekolah-sekolah yang terlibat, pegawai-pegawai kokurikulum Tutong dan juga guru-guru pengawas pasukan badminton sekolah-sekolah yang mengikuti kejohanan ini.
Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang dan sijil penyertaan bagi sekolah yang menyertai oleh tetamu kehormat.
Tujuan kejohanan tersebut diadakan adalah sebagai salah satu kegiatan projek tahunan Jabatan Pendidikan Kokurikulum Cawangan Daerah Tutong. Kejohanan ini dapat menjalinkan hubungan silaturahim di kalangan murid di samping mengembangkan daya saing serta membina jasmani dan rohani yang sihat.