Kejohanan dunia ‘aksi terakhir’ Shah Firdaus

ISKANDAR PUTERI, 21 SEPT – Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Perancis bulan depan bakal menjadi ‘aksi terakhir’ pelumba basikal Malaysia, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, di pentas antarabangsa sebelum menutup kalendar perlumbaannya tahun ini.

Pelumba berusia 25 tahun itu berkata keputusan untuk beraksi pada perlumbaan itu dibuat selepas berbincang dengan jurulatih John Beasley serta keluarganya di Muar.

“Memang kami tengah buat persediaan di Nilai untuk kejohanan itu yang dijangka diadakan pada 20 Okt. Sebelum ini, saya masih berbincang dengan jurulatih, sama ada pergi atau tidak.

“Tetapi selepas balik jumpa keluarga, saya rasa baik saya pergi sebagai ‘aksi penutup perlumbaan’ untuk tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan insentif kepada atlet Johor yang menyertai Sukan Olimpik dan Paralimpik di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di sini hari ini.

Terdahulu, atlet kelahiran Muar itu menerima RM5,000 sebagai insentif penyertaan pada temasya sukan itu, yang disampaikan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Muhammad. – Bernama