Friday, October 11, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kejohanan FIBA 3×3 siri ketiga bermula

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 1 OKT – Pasukan bola keranjang muda berbakat dari seluruh negara mempamerkan aksi terbaik mereka dalam Kejohanan FIBA 3×3 yang memasuki siri ketiga, diadakan di Gelanggang Bola Keranjang New Village, Seria, baru-baru ini.

    Kejohanan ini dianjurkan oleh Persatuan Bola Keranjang Brunei dengan kerjasama Persatuan Bola Keranjang Daerah Tutong dan Persatuan Bola Keranjang Daerah Belait (BDBA). Sebanyak 12 buah pasukan bersaing dalam dua kategori iaitu B18 Lelaki dan Terbuka Lelaki.

    Dalam kategori B18 Lelaki, Pasukan Bluemambas meraih kemenangan selepas menewaskan Evo dalam perlawanan akhir yang sengit. Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan di awal permainan sebelum Bluemambas memastikan kemenangan dengan kelebihan dua mata, menamatkan perlawanan dengan keputusan 13-11, manakala Evo di tempat kedua. Pasukan Undergraduates pula meraih tempat ketiga dengan menewaskan CHMS White 16-12.

    Sementara itu, dalam kategori Terbuka Lelaki, Hisense Hvac mencatat kemenangan bergaya apabila menundukkan pasukan D.A.R.K. dengan keputusan 21-7, seterusnya dinobatkan sebagai juara. Pasukan Sando mengatasi Petroteq dengan keputusan tipis 16-15 untuk menduduki tempat ketiga.

    Pengerusi BDBA, Koo Kong Loi, menyampaikan hadiah dan trofi kepada pasukan pemenang pada majlis penutupan kejohanan tersebut.

    Selepas kejayaan siri ketiga di Daerah Belait, pasukan teratas dari setiap kategori layak secara automatik ke siri keempat kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Daerah Brunei-Muara pada 3 November.

    Antara aksi para pemain pada kejohanan tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda