Kejohanan Futsal HPA labuh tirai

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Kejohanan Futsal Hari Perkhidmatan Awam (HPA) ke-25, 2018 yang telah bermula sejak 3 Februari lepas berakhir malam kelmarin dengan menyaksikan perlawanan-perlawanan akhir bagi kategori-kategori yang dipertandingkan bertempat di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada acara berkenaan dan berkesudian menyempurnakan majlis penyampaian hadiah ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Turut hadir pada majlis tersebut dan juga berkesudian menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, dan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.

Muncul juara bagi Kategori Terbuka dalam kejohanan itu adalah Pasukan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, manakala Pasukan KHEU sekadar berpuas hati berada di tempat kedua.

Tempat ketiga bagi kategori itu pula disandang oleh Pasukan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Kementerian Pertahanan.

Dalam Kategori Veteran pula, juara menjadi milik Pasukan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Sementara itu Pasukan KHEU berada di tempat kedua, manakala Pasukan Kementerian Pembangunan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan masing-masing berada di tempat ketiga dalam kategori tersebut.

Kejohanan tersebut dianjurkan bersama oleh Jabatan Pentadbiran, KHEU, Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM), Jabatan Belia dan Sukan dan Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam.

Kejohanan futsal yang diadakan pada setiap tahun itu, dibukakan kepada 13 buah kementerian di negara ini dengan dua kategori yang mana Kategori Terbuka disertai sebanyak 12 buah pasukan, manakala Kategori Veteran pula disertai oleh sebanyak sembilan buah pasukan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti menyempurnakan penyampaian hadiah kepada johan dalam Kategori Terbuka.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bergambar ramai bersama para pemenang dalam Kategori Terbuka dan Kategori Veteran.