Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kejohanan Futsal Keputeraan 2022 buka tirai Ahad ini

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Kejohanan Futsal Keputeraan 2022 akan membuka tirainya Ahad ini di Dewan Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam.

    Kejohanan bermula dengan perlawanan peringkat kumpulan yang menyaksikan sebanyak 28 buah pasukan dibahagikan kepada tujuh kumpulan akan bersaing bagi pemilihan dua pasukan terbaik setiap kumpulan sebelum mara ke peringkat suku akhir.

    Pasukan Almerez, yang merupakan juara bertahan Kejohanan Futsal Keputeraan edisi sebelum ini, akan berusaha untuk mempertahankan gelaran dan melaungkan hasrat untuk menjulang piala tersebut buat kali kedua.

    Pengurus pasukan Almerez, Pengiran Mohd Rabiul Azizi bin Pengiran Haji Rosman baru-baru ini berkata bahawa dia berharap pemain-pemainnya akan berusaha lebih gigih untuk mengekalkan reputasi dan kejayaan selaku juara bertahan.

    Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan potensi yang dimiliki oleh barisan pemain pasukan Almerez yang majoritinya berusia 25 tahun ke bawah dan beliau juga berharap persiapan yang telah dilakukan akan memberikan impak yang positif kepada pasukan.

    Kejohanan berkenaan adalah salah satu acara yang disusun dalam kalendar perayaan sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 tahun.

    Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Futsal Keputeraan 2022 dan telah mendapat sokongan daripada Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (FABD).

    Kejohanan ini diadakan adalah untuk menyediakan platform bagi peminat sukan futsal mempamerkan potensi masing-masing.

    Di samping itu, kejohanan ini juga merupakan pertandingan yang ditunggu-tunggu di negara ini selain kejohanan kendalian FABD dan diharap dapat memajukan sukan futsal di negara ini.

    Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kejohanan Futsal Keputeraan 2022, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz menerima piala rebutan Kejohanan Futsal Keputeraan daripada Pengiran Mohd Rabiul Azizi.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...