Kejohanan Gimnastik AS 2020 dibatalkan

WASHINGTON, 13 MEI – Gimnastik AS tidak akan menganjurkan kejohanan kebangsaan dan acara besar lain pada 2020 disebabkan pandemik koronavirus, umum badan sukan negara semalam.

Kejohanan Gimnastik AS, yang telah dirancang diadakan pada 4 hingga 7 Jun di Fort Worth, Texas, akan diadakan di bandar yang sama pada 3 hingga 6 Jun 2021.

Juara bertahan dunia dan Olimpik Simone Biles akan menjadi pilihan untuk memenangi kejuaraan keseluruhan ketujuh dalam lapan musim pada bulan depan, hanya terlepas pada 2017 apabila beliau bercuti selama setahun selepas Olimpik Rio.

Namun dengan wabak virus memaksa penangguhan Olimpik Tokyo dari Julai kepada 2021 dan peraturan perintah berkurung dilaksanakan di kebanyakan kawasan, Gimnastik AS memutuskan untuk membatalkan acara 2020 selepas berunding dengan atlet dan pegawai perubatan.

“Berdasarkan nasihat daripada pakar kesihatan, dan selepas menerima maklum balas dari atlet dan jurulatih kami, kami percaya adalah baik untuk komuniti menunggu sehingga 2021 untuk mengadakan acara besar,” kata ketua pegawai eksekutif Gimnastik AS, Li Li Leung.

Gimnastik AS berkata ia masih dalam proses menjadualkan semula acara lain sebelum Olimpik Tokyo 2021, termasuk percubaan Olimpik AS dan Kejohanan Gimnastik AS untuk acara berirama dan trampolin, dengan rancangan untuk mengumumkan tarikh berkenaan ‘pada minggu-minggu akan datang.” – AFP