Kejohanan Glasgow mungkin penentu karier Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland pada 21 hingga 27 Ogos ini, mungkin menjadi penentu karier jaguh badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei dalam arena badminton.

Jurulatih perseorangan Malaysia, Hendrawan berpendapat berdasarkan perbincangan antara beliau dan Chong Wei, keputusan di kejohanan dunia itu nanti akan menentukan masa depan dan arah tuju anak buahnya itu.

Hendrawan bagaimanapun berkata keputusan untuk bersara atau tidak ia bergantung kepada keinginan Chong Wei sendiri.

“Ya, beliau pernah menyatakan hasratnya untuk bersara tetapi perbincangan itu selepas Sukan Olimpik, selepas beliau ‘berhabis-habisan’ di Brazil. Saya bertanyakan kepadanya sama ada masih ada kemahuan lagi atau tidak, jika tidak ia sukar.

Datuk Lee Chong Wei ketika beraksi dalam perlawanan SS Purple League 2016/17 di Stadium Badminton Cheras. – Bernama
Datuk Lee Chong Wei ketika beraksi dalam perlawanan SS Purple League 2016/17 di Stadium Badminton Cheras. – Bernama

“Jika masih ada sasaran dan kemahuan, masih boleh. Saya ingat lagi Chong Wei pernah berkata sasarannya adalah Kejohanan Dunia iaitu pada tahun ini.

“Waktu itu saya kata ia tidak mustahil kerana masih ada satu tahun persediaan. Tidak perlu fikir sampai Sukan Olimpik Tokyo 2020. Jika berjaya di Scotland, saya rasa orang ramai tidak perlu tanya lagi dan dia juga tidak akan ragu-ragu lagi,” katanya di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara di sini.

Hendrawan berpendapat sekiranya Chong Wei masih mempunyai keinginan tinggi dan sasaran, ia membuktikan pemain itu masih mempunyai impian untuk meneruskan kariernya dalam badminton. – Bernama