Monday, October 2, 2023
23 C
Brunei

    -

    Kejohanan Golf Amal Pusat Ehsan bakal uji bakat pemain

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Salah satu acara golf amal yang dinanti-nantikan oleh pemain golf tempatan, Kejohanan Golf Amal Pusat Ehsan ke-22, akan diadakan bermula 30 September hingga 2 Oktober di Kelab Golf Pantai Mentiri.

    Kejohanan golf amal itu kembali lagi menemui pemain golf tempatan yang memberikan peluang kepada mereka bukan sahaja untuk menguji bakat, tetapi juga beramal sambil bermain serta merebut Piala Cabaran Penaung.

    Perkara itu dijelaskan oleh Penasihat Kejohanan Golf Amal Pusat Ehsan, Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab, dalam sidang media mengenai kejohanan golf amal berkenaan yang diadakan di Kelab Golf Pantai Mentiri, hari ini.

    Kejohanan golf amal itu dihasratkan untuk mengutip sumbangan bagi Pusat Ehsan di mana menerusi perlawanan amal berkenaan, dapat memberikan peluang kepada orang ramai, termasuk sektor swasta dan korporat untuk menaja dan menyumbang kepada perlawanan berkenaan atau menyumbang derma langsung kepada pusat berkenaan. Kejohanan yang dijangka akan menarik penyertaan daripada kira-kira 250 orang peserta, jelasnya, bermatlamat untuk membantu para pelajar mencapai kehidupan yang bermakna.

    “Harapan kami adalah bagi terus bekerjasama dengan perniagaan dalam komuniti tempatan bagi menjadikan kejohanan itu satu acara yang berjaya,” tambahnya.

    Dato Paduka Haji Mohammad Alimin (tengah) dan Awang Seruji (kanan) semasa sidang media Kejohanan Golf Amal Pusat Ehsan ke-22 yang berlangsung di Kelab Golf Pantai Mentiri, kelmarin.

    Dato Paduka Haji Mohammad Alimin berkata bahawa semua kutipan daripada kejohanan amal berkenaan adalah bagi manfaat para pelajar untuk memenuhi keperluan istimewa mereka.

    Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Persatuan Singapura, Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura, Cityneon Displays and Construction Sdn Bhd dan Kelab Golf Pantai Mentiri atas sokongan untuk menjayakan perlawanan berkenaan serta kepada Brunei Press menerusi Borneo Bulletin dan Media Permata yang terus memberikan sokongan kepada acara berkenaan sebagai penyokong media eksklusif bagi perlawanan itu.

    Sementara itu, Pengerusi Kejohanan, Awang Seruji bin Haji Setia berkata bahawa kejohanan itu dibukakan kepada semua pemain golf termasuk juga pemain-pemain golf wanita dan golf senior dengan borang penyertaan untuk kejohanan boleh diperoleh di Kelab Golf Pantai Mentiri.

    Beliau menerangkan bahawa perlawanan itu dijalankan berdasarkan System 36 (Stroke Play) di mana pelbagai hadiah menarik menanti para pemain termasuk peluang untuk merebut Piala Cabaran Penaung serta hadiah-hadiah bagi hole-in-ones, bull’s eye dan hadiah-hadiah novelty.

    Sehubungan itu, mereka yang berminat khususnya pemain golf tempatan dan luar negara, dialu-alukan untuk menyertai perlawanan golf berkenaan di mana bukan sahaja mereka boleh memenangi hadiah menarik tetapi juga beramal sambil bertanding.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Ikan paus langgar bot, 1 maut, 1 cedera  

    SYDNEY, 1 OKT - Seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera selepas seekor ikan paus melanggar sebuah bot di luar pantai timur Australia, kelmarin,...

    Singa baham tuan