Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Kejohanan Golf Amal Pusat Ehsan ke-21 kini kembali lagi di mana ia akan diadakan pada 16 hingga 18 Julai ini di Kelab Golf Pantai Mentiri.
Kejohanan golf amal itu bakal menampilkan pemain golf tempatan, yang mana selain bagi menguji bakat pemain, mereka juga dapat beraksi dalam kejohanan itu sambil beramal.
Perkara itu dijelaskan oleh Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab dalam sidang media mengenai kejohanan golf amal berkenaan yang diadakan di Kelab Golf Pantai Mentiri, hari ini.
Golf amal itu dihasrat dapat mengutip sumbangan bagi Pusat Ehsan daripada orang ramai, sektor swasta dan korporat termasuk dari segi tajaan dan sumbangan kepada perlawanan tersebut atau menyumbang derma secara langsung kepada pusat berkenaan.
Sementara itu, pengerusi perlawanan, Awang Seruji bin Haji Setia berkata bahawa perlawanan itu dibuka kepada semua pemain golf termasuk pemain-pemain golf wanita dan senior, di mana pendaftaran dan borang penyertaan untuk kejohanan boleh didapati di Kelab Golf Pantai Mentiri dan Pusat Ehsan.
Beliau semasa sidang media itu juga menerangkan bahawa kejohanan itu dijalankan berdasarkan Sistem 36 (Stroke Play), di mana pelbagai hadiah menarik menanti para pemain termasuk peluang untuk merebut Piala Cabaran Patrons serta hadiah-hadiah bagi hole-in-ones dan hadiah-hadiah novelty.
Hanya seramai 12 orang pemain terbaik akan berentap pada hari terakhir kejohanan 18 Julai nanti bagi merebut piala kejohanan berkenaan, tambah Awang Seruji. Antara hadiah yang menarik bagi hole-in-ones ialah hadiah berupa sebuah kenderaan Toyota Vios yang ditaja oleh NBT Brunei.
Sehubungan itu, mereka yang berminat khususnya para pemain golf tempatan adalah dialu-alukan untuk menyertai kejohanan golf berkenaan.