MILWAUKEE – Para juri kualiti keju menghidu, merasa dan memegang beribu-ribu sampel keju di Kejohanan Keju Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini yang diadakan di Wisconsin.
Kejohanan itu diadakan secara bergilir-gilir dengan ‘World Cheese-off’. Penghakiman bagi kejohanan tersebut dibuat selama dua hari di Lambeau Field, Green Bay dan pemenangnya diumumkan pada hari yang berasingan.
Pendedahan naikkan jualan
Penyertaan bagi pertandingan kebangsaan itu telah meningkat sebanyak 22 peratus, dengan jumlah penyertaan merekodkan 2,303 penyertaan. Ini mungkin kerana kemenangan dalam pertandingan besar telah membuktikan keberkesanannya dalam meningkatkan jualan.
Contohnya, jualan keju Emmi Roth dari AS telah meningkat sebanyak 20 peratus setelah memenangi Kejohanan Keju Dunia pada tahun 2016 dengan keju Grand Cru Surchoix mereka yang dibuat di Monroe, Wisconsin.
Ia merupakan detik pertama untuk warga Amerika memenangi gelaran juara kejohanan keju sejak tahun 1988.


Disebabkan oleh peluang pendedahan yang berkesan ini, Ladang FireFly di Accident, Maryland buat pertama kalinya telah membuat keputusan untuk menyertai dua kategori keju dalam kejohanan tersebut pada tahun ini.
Ladang itu menjual keju kambing kebanyakannya di sekitar kawasan pertengahan Atlantik dan telah memenangi lebih 100 anugerah dalam pertandingan-pertandingan lain sejak tahun 2002, menurut Andrea Cedro, pengarah jualan dan pemasaran syarikat itu.
Menyertai pertandingan-pertandingan secara tidak langsung akan memperkenalkan keju-keju peserta kepada peruncit-peruncit baru, para pembeli dan pengguna.
Juri-juri juga dapat memberikan mereka maklum balas yang berguna dan selalunya akan meningkatkan jualan, katanya. Tahun ini, sebanyak 25 syarikat telah menyertai pertandingan itu buat pertama kali.
Jumlah penyertaan menggalakkan
Pertandingan tersebut melibatkan seramai 48 orang juri yang menghakimkan 101 kategori, ini termasuk pelbagai jenis keju seperti cheddar ringan, Colby, mozarela, keju lembut smear-ripened, keju berperisa dan keju cair Hispanik. Kelas baru tahun ini adalah termasuk mentega berperisa dan keju snek.


Menurut Persatuan Pembuat Keju Wisconsin, kategori yang mempunyai peningkatan penyertaan terbanyak adalah keju string, yang meningkat sebanyak 113 peratus, keju masak lembut meningkat sebanyak 66 peratus dan keju Edam dan Gouda meningkat sebanyak 52 peratus.
Wisconsin mempunyai penyertaan terbanyak dari semua negeri. Namun, New York, Vermont, California dan Idaho merupakan lima teratas dalam jumlah penyertaan. Sebanyak 33 negeri menyertai kejohanan itu secara keseluruhan.
Pertandingan yang diadakan oleh Persatuan Pembuat Keju Wisconsin minggu ini merupakan penilaian teknikal keju, mentega dan yogurt terbesar di AS sejak ia bermula pada tahun 1981.
Komuniti Keju Amerika turut mengadakan pertandingan kebangsaan, namun ia diadakan di negeri-negeri berbeza di negara itu setiap tahun. Tahun lepas, mereka menerima penyertaan sebanyak 1,843.
Menurut Persatuan Makanan Tenusu Antarabangsa, pengguna membeli hampir AS$18 billion produk keju dari peruncit AS pada tahun 2015, meningkat hampir tiga peratus dari tahun 2014 dan meningkat sebanyak 27 peratus dari tahun 2012.
Jumlah purata keju dibuat dari susu lembu yang digunakan oleh setiap seorang di AS meningkat hampir tiga peratus pada tahun 2015 dari tahun 2014, iaitu meningkat kepada 35.33 paun per kapita. – AP