Kejohanan Kooyong Klasik Australia dibatalkan

MELBOURNE, 3 SEPT – Kejohanan sukan tenis Australia musim panas terjejas hari ini dengan kejohanan Kooyong Klasik telah dibatalkan akibat pandemik koronavirus.

Penganjur berkata keselamatan menjadi keutamaan mereka ketika membatalkan acara di Melbourne bagi kategori lelaki dan wanita, yang selalunya menjadi perlawanan pemanasan badan seminggu sebelum Grand Slam Terbuka Australia pada Januari.

“Kami telah membuat keputusan besar untuk membatalkan Kooyong Klasik untuk 2021,” menurut kenyataan yang dikeluarkan, dan menambah, “COVID-19 telah memberikan banyak cabaran kepada komuniti keseluruhan.

“Dengan keselamatan semua orang diutamakan dan masih mempunyai ketidakpastian mengenai baki tahun 2020 dan seterusnya, jadi kami rasa ia adalah perkara yang tepat untuk dilakukan”.

Bandar Melbourne ketika ini diletakkan di bawah perintah berkurung disebabkan oleh COVID-19, meskipun angka kes baharu semakin menurun.

Pegawai kejohanan Terbuka Australia bertekad untuk meneruskan rancangan mengadakan Grand Slam pertama 2021 di Melbourne Park, walaupun bandar tersebut sedang berusaha mengatasi gelombang kedua kes koronavirus. – AFP