Kejohanan lawan pedang pamer aksi hebat

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Atlet lawan pedang dari Daerah Brunei dan Muara, Anaqi Danish Asahrin muncul johan bagi acara Sabre Lelaki dalam Brunei Open Fencing Championship 2019 selepas menewaskan Mohd Haziq Asahrin 15-14 dalam acara yang berlangsung di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Mohd Haziq Asahrin, memulakan perlawanan dengan baik selepas mendahului 4-1 dan 6-2 menuju separuh masa perlawanan akhir.

Tetapi Anaqi Danish berjaya bangkit selepas melalui perlawanan separuh akhir yang sukar sebelum ini dengan mencatat empat mata berturut-turut untuk memastikan kejuaraan menjadi miliknya.

Pada kejohanan tahun ini, ia merupakan kali pertama Anaqi Danish meraih pingat emas selepas beberapa kali mencuba dalam edisi sebelum ini.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bergambar ramai bersama para pemenang.

Beliau tewas pada peringkat separuh akhir di tangan Mohd Yunus bin Haji Abdul Hamid dan tersingkir pada peringkat suku akhir selepas tewas kepada atlet lawan pedang dari Filipina pada 2017.

Sementara itu, wakil Daerah Brunei dan Muara, Anis Sabrina binti Yahya muncul juara dalam Kategori Foil Wanita selepas menewaskan atlet dari Malaysia, Fathiah Syazliya Samsudin dengan keputusan 15-13.

Manakala Zarith Amiera Khir Azman dan Putri A Elisa Isabela Megat Iskandar dari Malaysia masing-masing berkongsi pingat gangsa. Dalam acara Epee Wanita, Jing Xuan Yap dari Malaysia meraih pingat emas selepas menewaskan atlet negara, Alina Ali.

Manakala Nadhirah binti Mohd Salleh dan Nurul Massanita binti Baharuddin dari Brunei Darussalam berkongsi pingat gangsa.

Pada kejohanan itu turut menyaksikan pertandingan bawah 12 tahun secara individu untuk lelaki dan wanita bagi acara Foil yang menyaksikan Abdul Waiz bin Hashim dan Nur Harisah binti Harrisman Ashady muncul johan.