JASIN, 26 MEI – Sebanyak 116 peserta amatur dan profesional bakal menyertai Kejohanan Muay Thai Terbuka Merlimau pada 28 Mei ini di Dewan Elkay Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Lipat Kajang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kejohanan anjuran Persatuan Muay Thai Melaka dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Merlimau itu turut disertai peserta dari seluruh negara.
“Pertandingan kali pertama ini juga adalah sebagai medan persediaan bagi atlet-atlet negeri untuk menghadapi kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur 2022 pada September depan.
“Selain itu, ia diadakan bagi mencungkil bakat baharu dan melahirkan lebih ramai atlet yang mampu membuahkan pingat untuk negeri dan negara dalam kejohanan kebangsaan serta antarabangsa kelak,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.
Muhamad Akmal yang juga Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri berkata, penganjuran kejohanan itu juga mendapat sambutan sehingga 200 penyertaan namun sebahagian daripadanya terpaksa ditolak kerana kekangan masa.
Katanya, tiket untuk menyaksikan kejohanan itu dijual pada harga RM20 untuk dewasa dan RM10 kanak-kanak bagi menyaksikan pertarungan kategori profesional manakala masuk percuma bagi kategori amatur. – Bernama