Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Kejohanan perahu panjang gamit nostalgia

    KUALA NERUS – Kejohanan Perahu Panjang ‘Dragon Boat Race Festival 2022’ yang diadakan di Dataran Pengkalan Sungai Kampung Tanjung Sabtu di sini bukan sahaja menggamit nostalgia dalam kalangan warga emas malah turut mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia.

    Kejohanan dua hari itu dianjurkan Kelab Belia Lubuk Haji bertujuan menghidupkan semula budaya warisan masyarakat Melayu Terengganu di zaman silam dalam sukan tradisional perahu panjang.

    Pengarah program, Ahmad Azfar Ali berkata selain beradu kekuatan peserta yang mewakili kampung masing-masing, kejohanan itu juga mampu mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.

    “Sukan tradisi perahu panjang di Kampung Tanjung Sabtu ini bermula sejak 1980an lagi kerana perahu adalah pengangkutan utama penduduk kampung untuk ke bandar Kuala Terengganu ketika itu. 

    “Penganjurannya mendapat sambutan hangat daripada penduduk kampung berdekatan hingga mencecah puluhan ribu penonton menyaksikan di sepanjang sungai namun seiring peredaran zaman, sukan tradisional ini semakin dilupakan. Kami berharap usaha kecil ini mampu melonjakkannya semula sebagai satu tarikan pelancongan di Terengganu,” katanya kepada pemberita di sini.

    Peserta ketika beraksi pada Festival Perlumbaan Perahu Naga 2022 di Dataran Pengkalan Sungai Kampung Tanjung Sabtu. – Bernama
    Kejohanan tersebut yang dianjurkan oleh Kelab Belia Lubuk Haji bertujuan menghidupkan semula budaya warisan masyarakat Melayu Terengganu di zaman silam dalam sukan tradisional perahu panjang. – Bernama

    Kejohanan berkenaan menerima 11 penyertaan daripada lapan kampung dan tiga penyertaan luar termasuk Polis Diraja Malaysia dan Persatuan Kayak Negeri Terengganu.

    Pasukan Kampung Petai Bubus muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500; naib johan disandang pasukan Tanjung Sabtu Briged 1 dengan menerima RM1,000; pasukan Kampung Buluh Gading menduduki tempat ketiga dengan menerima RM700 manakala tempat keempat dimenangi pasukan Kampung Seberangi Jeram dengan menerima RM500.

    Beberapa pengunjung yang ditemui pula berharap kejohanan itu dapat diadakan setiap tahun kerana ia merupakan satu aktiviti unik dan istimewa buat penduduk kampung yang terletak di pesisir Sungai Nerus itu.

    Sujaiha Ibrahim, 39, berkata beliau hadir menyaksikan kejohanan tersebut dua hari berturut-turut untuk memberi sokongan kepada suaminya yang menjadi wakil peserta Kampung Tanjung Sabtu.

    “Memang sejak saya kecil lagi kejohanan ini sudah ada. Ia bagaikan pesta untuk penduduk kampung. Saya memang berharap kejohanan ini dapat diadakan dengan lebih kerap sebagai warisan budaya kepada generasi baharu,” katanya.

    Jamaliah Embong, 43, pula berkata kejohanan itu adalah identiti istimewa kampung tersebut yang perlu dikekalkan untuk generasi akan datang.

    “Ia berpotensi menjadi daya tarikan pelancong kerana bukan semua tempat ada keunikan seperti ini. Semoga kejayaan penganjuran kali ini dapat menarik perhatian pihak berwajib untuk terus mempopularkannya sebagai satu lagi destinasi pelancongan yang unik di Terengganu,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...