Kejohanan Piala Thomas, Uber ditunda

KUALA LUMPUR, 15 SEPT – Kejohanan badminton Piala Thomas dan Uber ditangguhkan hari ini selepas beberapa buah negara menarik diri disebabkan kebimbangan koronavirus, kata pegawai, dalam tamparan hebat kepada permulaan sukan itu.

Kejohanan pasukan dunia lelaki dan wanita itu dijadualkan berlangsung di Denmark pada bulan depan, dan akan menjadi kejohanan antarabangsa pertama sejak pandemik membatalkan badminton pada Mac.

Namun Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkata ia telah mengambil ‘keputusan sukar’ untuk menunda acara memandangkan penarikan diri bermakna mereka tidak dapat memberikan tahap persaingan yang tinggi.

Tidak ada tarikh baharu yang diberikan untuk kejohanan, yang kini telah ditunda sebanyak tiga kali, namun BWF berkata ia tidak akan diadakan sebelum 2021.

“Ia merupakan situasi luar biasa yang kami hadapi dan sementara kepulangan kepada badminton antarabangsa masih merupakan satu keutamaan untuk BWF, kesihatan dan keselamatan seluruh komuniti badminton adalah amat penting,” kata kenyataan BWF.

“Kami sedar kami tidak mampu memberikan tahap pertandingan yang dijangkakan oleh peminat dan semua stakeholder,” tambahnya.

Penangguhan lanjut kejohanan, yang dijadual diadakan di Aarhus dari 3 hingga 11 Oktober, nampaknya tidak dapat dielakkan sejak kebelakangan ini selepas beberapa bakat terkenal Asia menarik diri.

Indonesia, yang menjadi juara 13 kali Piala Thomas, serta Taiwan, Thailand, Korea Selatan dan Australia semuanya telah memutuskan untuk menarik diri dari acara itu.

Penangguhan merupakan halangan besar kepada usaha untuk meneruskan pertandingan antarabangsa, kerana ia adalah acara terbesar yang tinggal dalam kalendar tahun ini selepas Olimpik ditunda.

Ia juga bermakna pemain berdepan kalendar yang penuh pada tahun depan, berpotensi empat kejohanan utama.

Sekiranya Piala Thomas dan Uber diteruskan pada 2021, ia akan berlangsung dalam tahun yang sama dengan Olimpik, kejohanan dunia dan Piala Sudirman, untuk pasukan bercampur. – AFP