PARIS, 20 APRIL – Ketika bekas juara Ashleigh Barty membuat persiapan untuk kejohanan di Roland Garros pada 30 Mei ini, pemain Australia itu turut meluahkan rasa kesal kerana terlepas aksi Terbuka Perancis, tahun lalu.
Beliau memenangi satu kejohanan utama perseorangan di Paris pada 2019 tetapi selepas acara 2020 ditangguhkan ke September atau Oktober, beliau telah mengambil keputusan untuk tidak menyertainya berikutan penularan pandemik.
“Begitu lama sejak saya beraksi di Terbuka Perancis,” katanya di Stuttgart semalam, menjelang perlawanan pertamanya di gelanggang tanah liat Eropah dalam tempoh dua tahun.
Ketiadaannya bagi merebut kategori wanita di Roland Garros 2020 akhirnya dimenangi Iga Swiatek.
Pemain remaja Poland itu, mengejutkan dunia tenis apabila merangkul gelaran kejuaraan di Perancis dengan menewaskan pemain nombor enam dunia, Sofia Kenin di final.
Walau bagaimanapun Barty berkata 2021 akan menjadi satu permulaan yang baharu secara keseluruhan.
“Ia permulaan yang baharu, permulaan baharu bagi semua orang dalam acara itu. Ia adalah satu kejohanan baharu dan ia juga satu peluang yang baharu.”
Barty, 24, dan pemain Amerika, Jennifer Brady menewaskan satu lagi gandingan Amerika, Kaitlyn Christian dan Sabrina Santamaria 6-3, 6-1 dalam acara beregu pusingan ke 16 akhir di Stuttgart.
Barty menerima bye untuk ke pusingan kedua perseorangan, di mana dia akan berdepan seorang daripada wakil Jerman, sama ada Laura Siegemund atau Mona Barthel.
Selepas Stuttgart, dia merancang untuk beraksi di gelanggang tanah liat di Madrid dan Rom sebelum Roland Garros. – AFP