Kejohanan softball bermula

Oleh Ak Zaki Kasharan & Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Kejohanan Softball Piala NBT Master Fastpitch Softball 2019 membuka tirainya hari ini dengan acara perasmiannya bertempat di Padang Kebajikan, Kompleks Sukan Berakas, pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat pada acara berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, yang turut berkesudian merasmikan kejohanan berkenaan.

Kejohanan tersebut, yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian lelaki dan bahagian wanita, akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini, di mana ia disertai oleh beberapa pasukan dari Indonesia, Thailand, Hong Kong, Jepun, Singapura, Malaysia dan Negara Brunei Darussalam selaku tuan rumah bagi edisi kejohanan kali ini.

Perlawanan bagi bahagian lelaki akan diadakan bertempat di Padang A, Kompleks Sukan Berakas sementara itu bagi bahagian wanita, perlawanan akan diadakan bertempat di Padang B.

Dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Presiden Brunei Amateur Softball and Baseball Association (BASBA), Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Pahlawan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Mohd Jaafar bin Haji Abdul Aziz, menjelaskan mengenai latar belakang kejohanan yang mula diperkenalkan pada tahun 2013 itu.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika melancarkan kejohanan berkenaan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika diperkenalkan kepada pasukan-pasukan yang mengambil bahagian di kejohanan tersebut.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyaksikan penyerahan piala rebutan oleh pengarah urusan NBT Sdn Bhd kepada presiden BASBA.

Melalui penganjuran kali ini, beliau berharap dapat menyatukan persahabatan dan kekeluargaan selain akan menunjukkan kepada para kontinjen jemputan mengenai keindahan dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam, sekali gus diharap dapat merangsang industri pelancongan negara. Sejurus ketibaan tetamu kehormat, bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Awang Muhd Syarif Waliyuddin bin Jemain.

Pada majlis tersebut turut diadakan sesi penyerahan piala rebutan daripada NBT Sdn Bhd yang disampaikan oleh Pengarah Urusan NBT Sdn Bhd, Haji Ahmad Omar bin Pehin Dato Haji Husin kepada presiden BASBA.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kemudian diperkenalkan kepada pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dan seterusnya melancarkan kejohanan berkenaan.

Dalam perlawanan pembukaan pagi tadi, pasukan Brunei memulakan kempen dengan menewaskan Hong Kong dengan keputusan 15-0, sebelum mengulangi permainan hebat mereka apabila menang 10-0 ke atas pasukan Malaysia bagi persaingan wanita.

Sementara itu, dalam kejohanan lelaki, pasukan tuan rumah kurang bernasib baik apabila tewas kepada pasukan Hong Kong dalam perlawanan pembukaannya.

Pasukan wanita negara akan beraksi menentang Jepun dan Indonesia esok, dan akan melengkapkan saingan peringkat kumpulan menentang Singapura pada hari Jumaat.