SHANGHAI, 24 JULAI – Semua kejohanan tenis antarabangsa di China termasuk kejohanan Shanghai Masters dan Final WTA dibatalkan semalam akibat pandemik COVID-19, kata ATP dan WTA.
Satu tamparan hebat bagi sukan tenis dalam usaha mereka untuk memulakan semula kejohanan tenis setelah China menyatakan mereka tidak akan mengadakan banyak acara sukan antarabangsa untuk tahun 2020 demi memastikan wabak itu terus dalam keadaan terkawal.
“Kami sangat kecewa kerana acara bertaraf dunia di China tidak akan berlangsung tahun ini,” kata Steve Simon, ketua Persatuan Tenis Wanita, dalam satu kenyataan.
“Kami bagaimanapun menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pihak berkuasa China dan ingin kembali ke China secepat mungkin musim depan.”
Di antara kejohanan yang telah dibatalkan adalah Terbuka WTA Wuhan, yang berjanji akan menjadi sangat simbolik kerana bandar itu menjadi pusat penularan wabak COVID-19 ketika ia muncul akhir tahun lalu.
ATP mengatakan pihaknya juga membatalkan acara yang dijadualkan di China untuk sepanjang tahun ini, termasuk Shanghai Masters dan Terbuka China yang berprestij di Beijing.
“Pendekatan kami sepanjang pandemik ini adalah selalu mengikuti garis panduan setempat ketika mengadakan acara.
“Kami menghormati keputusan kerajaan China untuk melakukan yang terbaik untuk negara ini sebagai tindak balas terhadap situasi global yang belum pernah terjadi sebelumnya,” kata Andrea Gaudenzi, ketua ATP.
“Dengan berat hati kami mengumumkan bahawa kejohanan ATP tidak akan diadakan di China pada tahun ini.” – AFP
