Kejohanan Terbuka Badminton Aewon hujung minggu ini

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Kejohanan Terbuka Badminton Aewon 2019 akan membuka tirainya pada hujung minggu ini di Dewan Serba guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.

Turut menyertai kejohanan kali ini ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim yang akan bertanding dalam acara Perseorangan Lelaki (B12) dan Beregu Lelaki (12).

Kejohanan yang dianjurkan oleh Aewon Brunei dengan turut disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan juga Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam itu juga akan dijangkakan menarik seramai 400 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Miri, Sarawak, Malaysia.

Kejohanan berkenaan juga turut disertai oleh beberapa pemain berpengalaman dan kejohanan tersebut akan berakhir pada 23 November 2019 depan.

Kejohanan yang menggunakan sistem knock-out tersebut dibahagikan kepada lapan kategori iaitu Perseorangan Lelaki (B12) dan Beregu Lelaki (B12), Beregu Lelaki Terbuka A, Beregu Lelaki Terbuka B, Perseorangan Lelaki Terbuka, Beregu Wanita Terbuka, Beregu Campuran Terbuka, serta Beregu Veteran Terbuka.