Kejohanan Wusyu remaja labuh tirai

Oleh Ak Zaki Kasharan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Kejohanan Wusyu Remaja Asia ke-10 melabuhkan tirainya malam tadi dengan majlis makan malam gala yang berlangsung di Ballroom Hua Ho Manggis.

Berkenan berangkat ke majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC).

Turut hadir ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Aliiyah Amalul Bulqiah.

Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Kejohanan, Dr Mohd Firdaus Abdul Rahman dalam sembah alu-aluannya antara lain menzahirkan kesyukuran dan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kejohanan kali ini.

DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan YAM Pengiran Anak ‘Aliiyah Amalul Bulqiah ketika berkenan berangkat ke majlis makan malam gala.
DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara ketika berkenan menerima pesambah daripada Chang Chew Ping.

Sementara itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan sebelum menyampaikan sembah alu-aluannya malam tadi turut memuji kerja keras semua pihak yang terlibat terutama Persekutuan Wusyu Asia dan Persekutuan Wusyu Negara Brunei Darussalam atas kejayaan penganjuran kejohanan yang penuh bersejarah ini.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan juga turut memuji semangat yang ditunjukkan oleh semua atlet wusyu kebangsaan negara pada kejohanan ini yang telah membanggakan dan mengharumkan nama negara.

Pada majlis malam tadi, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara turut berkenan menerima pesambah daripada Persekutuan Wusyu Asia yang disampaikan oleh Naib Presidennya, Chang Chew Ping.

Pasukan China berjaya menduduki tempat pertama secara keseluruhan setelah berjaya meraih 20 pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa.

Sementara itu, pasukan wusyu negara berjaya menduduki tempat kesembilan selepas memperoleh empat pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa.