Kejohanan Zozo diteruskan seperti dirancang

TOKYO, 14 SEPT – Kejohanan Golf Zozo Jelajah PGA AS akan diadakan di Jepun seperti yang dirancang bulan hadapan, pihak penganjur mengumumkan hari ini, selepas kebimbangan ia mungkin dipindahkan buat kali kedua berturut-turut disebabkan pandemik koronavirus.

Edisi julung kali acara Jelajah AS yang diadakan di Jepun buat pertama kali pada 2019 merupakan kemenangan yang bermakna buat Tiger Woods, namun kejohanan pada tahun lalu terpaksa dipindahkan ke California ekoran virus.

Piala CJ, bermula pada 14 Oktober, telah dipindahkan dari Korea Selatan ke Las Vegas, sementara Kejohanan Golf Dunia, Kejuaraan HSBC Shanghai, dijadualkan pada 28 hingga 31 Oktober, terpaksa dibatalkan buat kali kedua berturut-turut.

Namun ketua Jelajah PGA berkata hari ini bahawa Kejohanan Zozo akan diteruskan seperti dirancang di Accordia Golf Narashino Country Club di Chiba, bahagian barat Tokyo, bermula 21 hingga 24 Oktober.

Keputusan sama ada membenarkan peminat untuk menyaksikan perlawanan masih belum ditentukan.

“Kami yakin kejohanan kami akan mempamerkan aksi golf berkelas dunia sekali lagi,” menurut naib presiden eksekutif Jelajah PGA AS antarabangsa, Ty Votaw dalam kenyataannya.

Kejohanan Zozo dilancarkan dengan meriah pada 2019, dengan Woods berjaya menarik ramai kehadiran peminat.

Pemenang 15 kali kejohanan utama itu mendahului perlawanan dan menamatkan kejohanan tiga pukulan di hadapan mengatasi Hideki Matsuyama dari Jepun, dan Rory McIlroy berada di kedudukan ketiga.

Kemenangan tersebut menyaksikan Woods menyamakan rekod 82 kemenangan Jelajah PGA AS yang di pegang oleh pemain legenda, Sam Snead.

Kejohanan tahun ini akan menawarkan hadiah lumayan AS$9.95 juta, dengan 78 pemain elit menyertai kejohanan, namun butiran pemain masih belum ditentukan. – AFP