Kejuaraan F1 musim ini tiada perbezaan

LONDON, 4 OGOS – Kejuaraan Formula Satu tahun ini tetap sama seperti musim-musim lain meskipun jadual perlumbaan telah dipendekkan kerana koronavirus, menurut ketua Mercedes, Toto Wolff.

Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton merupakan calon utama untuk dinobatkan sebagai juara dengan menyamai rekod tujuh kali kemenangan selepas dia memenangi Grand Prix Britain di Silverstone secara dramatik pada Ahad lalu.

Hamilton terselamat dari keadaan tegang pada pusingan terakhir dengan tayar yang kempis dan pecah untuk menghabiskan perlumbaan di hadapan pemandu Red Bull, Max Verstappen dan kini mempunyai kelebihan 30 mata dari rakan sepasukannya, Valtteri Bottas selepas empat perlumbaan.

COVID-19 telah menyebabkan kekacauan kepada musim Formula Satu, yang pada asalnya dijadualkan melangsungkan 22 perlumbaan.

Terdapat 13 perlumbaan yang telah dirancang tetapi ketua-ketua F1 berharap untuk menambah lebih banyak perlumbaan pada jadual kalender.

“Saya tidak merasa sebarang kejohanan itu lebih berharga berbanding kejuaraan yang lain,” Wolff memberitahu BBC.

“Anda mungkin mengatakan bahawa kejuaraan yang lebih sedikit bermakna lebih sedikit kesilapan dan perlumbaan di mana anda tidak menamatkannya. Bagi kami dan semestinya untuk sukan ini, ia adalah sama berharga seperti kejohanan yang lain.”

Wolff sangat berhati-hati mengenai peluang Hamilton meskipun didominasi oleh Mercedes pada musim ini – Hamilton telah memenangi tiga dari empat perlumbaan, dengan Bottas menjuarai perlumbaan yang satu itu.

“Kami belum lagi menjuarai sebarang kejohanan,” kata Wolff, 48.

“Kerana anda perlu mempunyai pemikiran skeptisisme, dan benar-benar terus fokus. Ia belum berakhir sehingga ia berakhir.” – AFP