Kejutan buat Awangku Mohd Aiman

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Awangku Mohd Aiman bin Pengiran Haji Mohd Noor Ariffin tidak menyangka bahawa sampul surat yang dipilihnya merupakan sampul surat bertuah baginya, apabila beliau memenangi hadiah utama pada Majlis Penyampaian Hadiah Kepada Pelanggan At-Taqwa Travel Tours yang berlangsung di At-Taqwa Travel Tours Sdn Bhd, Tungku Link, hari ini.

Hadir untuk menyaksikan majlis penyampaian hadiah berkenaan ialah Pengarah Urusan At-Taqwa Travel Tours, Pengiran Haji Mohd Rosdimar bin Pengiran Haji Omarali.

Pada majlis itu, tiga orang pelanggan bertuah At-Taqwa Travel Tours membuat pilihan sampul surat untuk menentukan pemenang hadiah utama.

Awangku Mohd Aiman membuat pilihan sampul bertuah dan membawa pulang hadiah utama berupa pakej umrah untuk dua orang yang telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi At-Taqwa Travel Tours, Pengiran Haji Mohd Fakhrulrazi bin Pengiran Haji Omarali. Tempat kedua dimenangi oleh Haji Mohd Rahimin bin Pehin Haji Abdul Aziz yang membawa pulang baucar pelancongan bernilai $2,500 dengan hadiah disampaikan oleh Ketua Jabatan Pelancongan dan Pengembaraan At-Taqwa Travel Tours, Dayangku Sabtuyah binti Pengiran Abdul Rahman.

Manakala itu, Haji Sainin bin Haji Muhammad memenangi hadiah berupa baucar pelancongan bernilai $1,500 selaku pemenang ketiga dengan hadiah disampaikan oleh Penolong Ketua Jabatan Pelancongan dan Pengembaraan At-Taqwa Travel Tours, Pengiran Harun bin Pengiran Haji Mohd Zinin.

Awangku Mohd Aiman (kiri) menerima hadiah utama yang disampaikan oleh Pengiran Haji Mohd Fakhrulrazi.