Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Kejutan manis Meor, Fazliana

    Kisah raja sehari, Meor Izz Rasydan, 27, yang terpaksa bersanding bersendirian bertemankan komputer riba mewakili mempelai perempuan, Fazliana Sjafni, 28, yang disahkan positif COVID sehari sebelum majlis berlangsung, mencuri perhatian Hot FM Rangers yang menghadiahkan mereka majlis persandingan semula, baru-baru ini.

    Bertindak atas perkongsian tular, Hot FM Rakyat Rangers diwakili Fara Fauzana, AG dan Fad menganjurkan persandingan Meor dan Fazliana pada majlis #RewangRakyatRanger pada 20 Mac lalu yang mendapat tajaan pelbagai pihak.

    Terharu atas inisiatif diambil kru Hot FM, pasangan Meor dan Fazliana tidak menyangka impian bersanding menjadi realiti.

    “Pada mulanya, Hot FM hubungi kami dan beritahu ada kejutan untuk kami di mana ada hadiah yang hendak diberi.

    “Dari minggu ke minggu Rakyat Rangers hubungi kami. Dapat dirasakan mereka seperti bersungguh-sungguh hendak merealisasikan hajat dan impian kami.

    Majlis persandingan Meor dan Fazliana meriah biarpun diadakan secara tertutup dengan dihadiri kira-kira 150 orang mewakili keluarga dan kru Hot FM. – Agensi

    “Pastinya perasaan bercampur baur. Majlis ini bukan daripada pihak kami, semuanya diuruskan orang lain iaitu Hot FM. Kami hanya datang dan ikut aturan sahaja.

    “Kami sangat terharu, bangga dan pada masa sama, kami sangat hargai apa yang Hot FM lakukan… Kami hanya orang biasa,” kata pasangan ini.

    Melalui #RewangRakyatRanger, Fara, AG dan Fad mencari penaja lokasi dan set pelamin iaitu Ruang Event Space dan sajian makanan daripada Amimy Kitchen Catering.

    Selain itu, Hot FM turut mendapatkan khidmat jurusolek, jurugambar dan penaja busana pengantin.

    Majlis berlangsung tiga jam iaitu dari jam 11 pagi hingga 2 petang cukup meriah biarpun diadakan secara tertutup dengan dihadiri kira-kira 150 orang mewakili keluarga dan kru Hot FM.

    Majlis persandingan itu juga dikejutkan dengan persembahan istimewa, Shila Amzah yang mengungguli Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 bersama kumpulan SOG dengan lagu, Pelukan Angkasa, baru-baru ini.

    Penampilan Shila yang dirahsiakan kepada kedua-dua mempelai menambah kemanisan acara persandingan semula itu. Majlis persandingan yang dikendalikan Fara dan Fad itu turut dimeriahkan dengan persembahan akustik penyanyi, Amir Jahari.

    Dalam mengatur acara penuh kejutan itu, penyampai Hot FM Rakyat Rangers, Fara, AG dan Fad menghubungi pasangan Meor dan Fazliana untuk bertanya khabar pada 4 Mac lalu.

    Dalam perbualan telefon, Fara, AG dan Fad bertanya mengenai kelapangan kepada mereka berdua tanpa memberitahu tujuan sebenar.

    Seterusnya, pada 7 Mac, Hot FM Rakyat Rangers sekali lagi menghubungi pasangan pengantin terbabit dan bertanya mengenai tarikh dipilih iaitu 20 Mac.

    Tanpa mengetahui tujuan sebenar, pasangan pengantin dikejutkan Fara, AG dan Fad untuk bersanding sekali lagi. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...