Kek Biscoff tular mudah dihasilkan

Oleh Nurdiyanah R.

Jika sebelum ini Kopi Dalgona yang tular menjadi kegilaan ramai, kini Kek Keju Lotus Biscoff pula menjadi pujaan warganet, suri rumah tangga dan khususnya para penggemar pencuci mulut (dessert).

Layari saja di mana-mana halaman makanan mahupun tempahan di media sosial, nama dan bentuk kek ini pasti ada dengan kuasa tular di hujung jari yang mudah dimuat naik oleh para penikmatnya.

Dengan bentuknya yang sudah pasti menggiurkan dan menambat hati penonton, membuat mereka teruja untuk menghasilkannya sendiri, lebih-lebih lagi dengan bahan-bahan asas yang mudah didapati di mana-mana kedai atau pasar raya terdekat dan juga amat mudah dihasilkan tanpa perlu dibakar dalam ketuhar.

Mudah tanpa dibakar

Oleh yang demikian bagi para pembaca yang ingin mencuba kek tular ini maka perlu menyediakan bahan-bahan utama terlebih dahulu iaitu Biskut Lotus Biscoff dan Unsalted Butter untuk menghasilkan bahan kerak atau asas.

Begitu juga dengan bahan-bahan untuk adunan tengah kek seperti keju krim, whipping cream, gula kastor dan Biscoff Spread. Manakala cara penyediaannya pula amat mudah tanpa dibakar.

Jika sebelum ini Kopi Dalgona menjadi kegilaan ramai, kini Kek Keju Lotus Biscoff pula menjadi pujaan baharu khusus bagi para penggemar pencuci mulut. – Agensi
Kek Keju Lotus Biscoff mudah dihasilkan tanpa perlu dibakar. – Agensi

Pertama, hancurkan dahulu semua Biskut Lotus Biscoff.

Kemudian panaskan kuali dan cairkan Unsalted Butter dan satukan dengan bahan biskut yang telah dihancurkan tadi dan digaul sehingga sebati.

Apabila sudah sebati, letakkan campuran bahan tersebut ke dalam loyang mengikut pilihan saiz dengan merata dan padat sebelum memasukkannya dalam peti sejuk dalam beberapa minit dan biarkan ia sejuk seketika.

Sementara itu, bahan keju krim dan Biscoff Spread digaul sehingga rata dan bertekstur lembut.

Diikuti pula dengan mencampurkan Whipping Cream dan juga gula kastor dalam adunan berkenaan sehingga bertekstur sederhana lembut kental iaitu tidak terlalu cair dan juga kental.

Selepas itu, tuang adunan tersebut ke dalam loyang mengandungi adunan kerak atau asas kek yang disimpan dalam peti sejuk seketika tadi dan menyejukkan kembali dalam beberapa minit.

Curahan kreativiti pada dekorasi topping kek

Seterusnya untuk bahan topping kek pula, Biscoff Spread perlu dicairkan terlebih dahulu iaitu dengan menggunakan kaedah double boil dan dibiarkan sejuk seketika sebelum dioles di permukaan kek dalam loyang tadi.

Di sinilah pelbagai curahan kreati-viti seseorang dalam menghiasi topping kek dengan gaya tersendiri dan penuh istimewa dapat dilihat sehingga mampu menjadikannya kek eksklusif serta menawan mata dan hati yang memandangnya.

Kemudian sejukkan kek tersebut selama tiga hingga empat jam sebelum dinikmati semasa waktu bersantai bersama insan-insan tersayang. Selamat mencuba!