Tuesday, August 16, 2022
27.1 C
Brunei

Kek jeli bangkit selera penggemar pencuci mulut

-

Bunga pastel berwarna-warni, sepasang arnab comel dan nama orang bertuah yang hari lahirnya disambut dengan huruf besar dan tebal, semuanya diletakkan di atas permukaan kek yang kelihatan meriah dan lazat.

Tekstur kek ini mungkin kelihatan seperti kek krim mentega bersalut gula, tetapi kek kedai roti Kiri Baitong Bakery Supply House (KBSH) semuanya diperbuat daripada jeli. Dahulu dianggap sebagai pencuci mulut retro, kini kek jeli yang terkenal di Instagram membuat kemunculan semula untuk sambutan hari lahir.

Pencuci mulut tradisional dan sejagat ini tidak pernah pudar dalam populariti dan hanya terus bertambah baik dalam penampilannya.

Kek ini adalah ihsan Kok Sothyra, yang berhenti kerja dalam industri pelancongan, mengubah dirinya menjadi tukang masak pastri dan mula mengajar orang bagaimana membuat pencuci mulut yang menyelerakan termasuk kek jeli.

“Pada penghujung 2014, saya berhenti kerja dan pada mulanya saya membuka kedai dobi moden.

Jeli dalam cawan juga boleh didapati dalam reka bentuk lazat yang berbeza. – ANN/The Phnom Penh Post

Kok Sothyra, memulakan kedai kek jelinya beberapa tahun lalu dan kini mengajar dalam talian dengan bayaran yang rendah. – ANN/The Phnom Penh Post

“Pada masa itu saya mempunyai ramai orang yang bekerja dengan saya, maka ia memberi saya lebih banyak masa lapang dan saya terjumpa kek jeli semasa melayari telefon saya, “ kata Sothyra kepada The Phnom Penh Post.

“Saya ternampak kek jeli dalam kotak paparan dengan seekor itik kecil yang comel di atasnya.

“Saya kagum dan saya mencari maklumat lanjut bagaimana saya boleh belajar membuatnya sendiri dan saya menemui seseorang di Thailand yang memberikan kursus mengenainya dan saya terus ke rumah mereka untuk pelajaran sehari secara bersemuka .”

Dia terus belajar dalam talian daripada gurunya di Thailand sehingga dia menguasai seni jeli. Kini setelah dia membuka kedai roti, dia mengkhususkan diri dalam ciptaan jeli dan setakat ini pelanggan teruja dengan konsep itu.

Kebanyakan orang Kemboja lebih mengenali kek yang diperbuat daripada tepung dengan pembekuan krim dan mendapati kek jelinya merupakan perubahan yang menarik. Ia juga popular dalam kalangan mereka yang tidak menggemari makanan manis tetapi masih mahukan pilihan pencuci mulut yang kurang gula.

“Pelanggan memberitahu saya rasanya sedap dan ada yang mengatakan nenek mereka sangat menyukainya sehingga mereka memesannya setiap minggu sekarang.

“Kami banyak menyaksikan pembelian berulang, “kata Sothyra.

Dia mengasaskan kedai roti KBSH pada 2015, yang mulanya hanya menjual kek jeli tetapi kemudiannya turut menawarkan kursus membuat kek jeli pada harga berpatutan kepada orang yang berminat untuk mempelajari kemahiran tersebut.

Sothyra mempunyai ramai orang yang menghubunginya dan memberitahunya mereka ingin belajar, tetapi sesetengah daripada mereka berada di luar negara dan ada yang berada di wilayah atau terlalu sibuk de-ngan pekerjaan dan kerja rumah untuk pergi ke kedai rotinya. Sothyra memutuskan untuk mengadakan kursus dalam talian bagi kek jelinya, terutamanya pada masa sekarang berikutan COVID-19, tetapi dia sebenarnya mula menawarkan kursus tersebut pada 2018.

Pelajarnya tidak perlu melakukan perjalanan dan ini juga membolehkannya mengenakan yuran yang lebih rendah. “Saya baru sahaja mencipta kumpulan peribadi dan saya menghantar video pelajaran kepada kumpulan itu.

“Ia memastikan setiap seorang pelajar mendapat pembelajaran terperinci dan membolehkan mereka belajar mengikut keupayaan mereka sendiri apabila mereka mempunyai masa lapang.

Saya mengajarkan segala-galanya bermula daripada ramuan sehinggalah teknik asas dan lanjutan,” kata Sothyra.

Dia juga menjual bekalan dan bahan yang mungkin tidak dapat diperoleh oleh pelajarnya dengan mudah di tempat lain.

“Pelajar mencuba sendiri dan kemudian saya akan berada di sana untuk membantu mereka dengan sebarang kesilapan sehingga mereka yakin boleh melakukan semuanya sendiri. Sekarang ini saya mempunyai 10 kumpulan berbeza dengan pelajaran berbeza,” katanya.

Sothyra percaya orang Kemboja masih belum mendapat pengalaman belajar dalam talian dan masih menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran baharu ini.

Sesetengah pelajar berbual dengannya sebelum belajar dan menyatakan keraguan mereka tentang belajar dengan berkesan melalui cara ini. Dia berkata dia biasanya memberi tindak balas dengan menghantar video sampel dan petikan video yang menyerlahkan beberapa perkara yang telah dibuat oleh pelajarnya dengan mengikuti pelajarannya, mengingatkan mereka tidak seperti YouTube, mereka boleh yakin akan merangkumi setiap maklumat yang mereka perlukan dan lebih-lebih lagi mereka akan mempunyai akses kepadanya untuk bertanya soalan dan mendapatkan bantuan pada bila-bila masa mereka memerlukannya.

“Jika awda masih tertanya-tanya tentang apa-apa atau ingin bertanya soalan awda boleh menghantar mesej kepada saya pada bila-bila masa. Saya sendiri akan menjawab setiap mesej yang dihantar kepada saya,” katanya.

Kursus kek jeli adalah AS$100 setiap sesi. Jika pelanggan mahukan akses kepada ketiga-tiga kursus kek jeli, harganya hanya AS$150. Kursus lain berharga AS$50, seperti kursus kek cawan pisang dan banyak lagi. “Saya mengajar kerana saya mahu orang Kemboja mempunyai makanan yang lazat dan berpatutan. Saya juga ingin berkongsi kemahiran ini dengan wanita yang sedang mempertimbangkan untuk menjalankan perniagaan mereka sendiri. Mereka tidak perlu memiliki kedai, apa yang mereka perlu lakukan ialah membuat makanan yang lazat dan kemudian menjualnya dalam talian, “katanya.

Daripada sepuluh kursus yang ada pada masa ini, tiga daripadanya adalah untuk tujuan amal dengan semua hasil didermakan kepada hospital kanak-kanak Kantha Bopha. Bagi kek yang dijualnya dalam talian, harga kek jeli bermula dari $20. Kek lain berkisar antara AS$1 hingga AS$5 bergantung pada jenis dan pembungkusan.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai terutamanya suri rumah agar jangan hadkan diri awda kerana keupayaan setiap orang adalah tidak terhad selagi awda bekerja keras.

“Sesiapa sahaja boleh melakukannya untuk mendapatkan wang tambahan bagi menyara keluarga mereka.

“Apa yang pasti, awda hanya perlu bersabar, kerana perniagaan berkaitan makanan adalah tentang mengekalkan pelanggan dari semasa ke semasa. Sentiasa terus mencuba, jika awda mencuba sekali dan gagal, kemudian cuba lagi,” kata Sothyra. – ANN/The Phnom Penh Post

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Iran nafi terbabit serangan Salman Rushdie

TEHRAN, 15 OGOS – Pegawai kerajaan Iran hari ini menafikan Tehran terbabit dalam serangan yang mencederakan penulis kontroversi, Salman Rushdie di Amerika Syarikat (AS)...

China lancar latihan baharu

- Advertisment -