Kek vintaj bangkitkan nostalgia zaman kanak-kanak

KUALA LUMPUR – Malar segar. Kek buttercream atau krim mentega yang begitu popular pada era 60an dan 70an, masih mempunyai pengikut setia di sebalik ‘kemunculan’ pelbagai jenis kek moden memenuhi rak pameran kebanyakan kedai kek dan pastri pada masa kini.

Kek span gebu yang dihiasi krim mentega dalam bentuk bunga atau watak kartun popular pada era itu merupakan kek pilihan bagi kebanyakan mereka yang lahir sebelum pertengahan 1990an ketika sambutan hari jadi dan juga acara istimewa lain.

Pada masa itu, kunjungan ke kedai kek bagaikan percutian di taman tema dek rasa teruja, khususnya ketika membelek album yang memuatkan gambar pelbagai kek krim mentega, sebelum membuat tempahan.

Suasana itu mungkin hanya tinggal kenangan bagi kebanyakan penggemar kek vintaj tersebut, namun sebuah bakeri di Pudu di sini berusaha mengekalkan cita rasa krim mentega yang mereka tawarkan sejak beroperasi pada 1961.

Terletak di Jalan Sungai Besi, Chen Tiang Cake House mengekalkan aura vintaj dengan almari paparan dan papan tanda berlatar belakang kuning, bertulisan stail lama di bawah papan tanda asal yang masih dijaga dengan baik selain menawarkan lebih 30 jenis kek dan pastri untuk penggemar sediaan manis old school.

Dipotong dalam bentuk tiga segi, kebanyakan kek di Chen Tiang Cake House direka bentuk dengan toping krim mentega pelbagai perisa yang menjadi kegemaran pada era 90an seperti coklat, vanila dan strawberi. – Bernama
Pengusaha Australian Bakery, Philip Chan melihat pekerjanya menyiapkan kek dan roti untuk dijual kepada pelanggan. – Bernama
Kebanyakan pelanggan setia Chen Tiang Cake House ialah kelompok berusia dengan majoritinya penduduk di sekitar kawasan Pudu, baik Cina mahupun Melayu. – Bernama

Diasaskan oleh Han Yooi Kang,  kedai kek itu yang kini dioperasikan oleh generasi kedua dan ketiga keluarga Han, menjadi bualan netizen sejak kebelakangan ini yang teruja dapat menikmati kek krim mentega stail lama yang membawa sesetengah mereka kembali mengingati alam kanak-kanak.

Cucunya Lois Lim, 21, berkata kedai kek itu bermula dengan sebuah kios kecil di sebuah kopitiam sebelum perniagaan berkembang dan datuknya dapat berpindah ke kedai bersebelahan kopitiam tersebut beberapa tahun kemudian.

“Perniagaan ini kemudian diusahakan secara bersama dengan nenek, Wang Ying, 76, selepas dia berkahwin dengan datuk pada usia 25 tahun. Hingga sekarang nenek masih aktif bekerja di kedai kek kami ini.

“Malah, semua yang bekerja dengan Chen Tiang Cake House sekarang telah bersama-sama kami sejak awal lagi, termasuk pekerja yang membuat kek untuk dipamerkan di rak paparan, menggunakan resipi yang diturunkan oleh datuk. Mesin dan peralatan yang digunakan juga adalah yang sama digunakan sejak 60 tahun lepas.    

“Bagi saya, rahsia kami dapat bertahan hingga sekarang ialah ‘kesetiaan’ (pekerja dan pelanggan),” kata wanita muda itu ketika dihubungi Bernama baru-baru ini. 

Produk halal

Menurut Lois, kebanyakan pelanggan setia mereka ialah kelompok berusia dengan majoritinya penduduk di sekitar kawasan Pudu, baik Cina mahupun Melayu yang tahu kesemua bahan yang digunakan mempunyai pensijilan halal.

Namun katanya kebelakangan ini semakin ramai pelanggan muda datang atau menempah kek daripada kedai itu selepas mereka menukar strategi perniagaan dan beroperasi secara hibrid dalam talian dan juga premis fizikal.

Dipotong dalam bentuk tiga segi, kebanyakan kek mereka direka bentuk dengan toping krim mentega pelbagai perisa yang menjadi kegemaran pada era 90an seperti coklat, vanila dan strawberi.

Pada 1960an, potongan kek terbabit dijual pada harga 20 sen sekeping, dan seiring peredaran masa harga juga meningkat, namun pada harga RM3 sepotong sekarang, kek di kedai itu dianggap antara yang termurah di Lembah Klang.

Bagi mereka yang lalu-lalang di depan kedai, mata pasti tertarik kepada konfeksi pelbagai warna, roti, donat dan paf, selain kek vintaj ‘signature’ yang memenuhi rak paparan dan peti sejuk.

“Seiring kehendak pelanggan, kami juga membuat kek vegetarian tanpa telur. Memang tidak mudah untuk bertahan selama 60 tahun (mengambil kira pelbagai krisis termasuk COVID-19), namun dengan sokongan pelanggan setia, kami berbangga dapat mengekalkan gaya ‘old school’ walaupun bersaing dengan kedai kek moden. 

“Kami juga menerima respons yang baik untuk kek signature kami kerana rata-rata pelanggan menyatakan semakin sukar bagi mereka untuk membeli kek vintaj seperti yang kami tawarkan,” katanya lagi, menambah kedai itu beroperasi 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Berubah ikut selera pelanggan

Sementara itu, sebuah lagi kedai bakeri vintaj, Australian Bakery Since 1970, mengambil pendekatan yang sedikit berbeza apabila turut menawarkan menu baharu di samping mengekalkan kek vintaj dan paf krim.

Terkenal dalam kalangan penduduk di Sea Park, Petaling Jaya dekat sini, kedai berkenaan yang beroperasi sejak 1970 menawarkan kek mentega tradisional, tat dan paf krim.

Hasil air tangan juga menggunakan bahan-bahan yang mempunyai pensijilan halal  Chan  Kang Heng, 68, itu memikat pelanggan dengan aroma bakeri yang hanya ‘dikenali’ oleh mereka yang membesar pada era 70an, walaupun premis dan dapur sudah diubah suai mengikut gaya moden. 

“Ketika mengasaskan Australian Bakery dengan ayah saya, saya baru sahaja tamat persekolahan. Ayah saya merupakan pengedar roti di sekitar Kuala Lumpur, menggunakan kereta dan van serta memiliki sebuah kedai yang dinamakan ‘Rex Bakery’ di Jalan Klang Lama, ketika zaman 60an.

“Saya banyak ponteng sekolah untuk membantu ayah menguruskan perniagaan rotinya dan ketika itulah kami mengenali beberapa pembuat kek dan roti terkemuka, membolehkan kami mempelajari cara-cara membuat kek sebelum memutuskan untuk membuka sebuah kedai kek dan roti,” kata Chan kepada Bernama.

Katanya ketika itu, kek krim mentega sangat laris dan popular dalam kala-ngan masyarakat serta menjadi pilihan tempahan khas kek hari jadi dan sambutan istimewa lain seperti ulang tahun.

“Hingga kini permintaan terhadap ‘customised vintage cake’ kami masih mendapat sambutan menggalakkan.

“Namun, kami terus-menerus mengkaji permintaan pelanggan di pasaran tentang cita rasa mereka terhadap kek dan pastri, serta menghasilkan menu-menu baharu dan dekorasi kek moden mengikut peredaran zaman tanpa mengabaikan menu signature kami.

“Oleh sebab itulah kami turut mengeluarkan kek-kek moden seperti red velvet, kek onde-onde, Japanese sponge cake, kek durian dan kek mini yang mempunyai dekorasi moden mengikut cita rasa semasa,” jelasnya.

Guna bahan asli tanpa pengawet

Menurut Chan, Australian Bakery since 1970’  membuka cawangan baharunya di Jalan Telawi, Bangsar pada Mei 2021 dan diusahakan oleh anak sulungnya, Philip Chan. Sebanyak 250 jenis kek dan roti dijual di kedua-dua kedai mereka.

Chan berkata antara rahsia kedai kek mereka masih bertahan hingga kini ialah sokongan pelanggan tetap hingga dua generasi, sejak kedai itu diasaskan kira-kira 50 tahun lepas.

“Semua roti dan kek kami merupakan ‘freshly baked daily’. Jika tidak dapat dijual dalam tempoh sehari, kami akan mendermakannya kepada golongan memerlukan seperti rumah-rumah kebajikan.

“Antara rahsia kami ialah menggunakan bahan-bahan segar. Contohnya, jika mahu menghasilkan kek durian, maka kami akan menggunakan buah durian sepenuhnya dan tidak akan mencampurkan sebarang pewarna ataupun perisa tiruan.  

“Kebanyakan kek yang berada di pasaran telah dicampurkan dengan pemanis dan perisa tiruan. Kami tidak berbuat demikian kerana mahu menghasilkan kek yang betul-betul diperbuat daripada buah segar,” katanya.

Dalam pada itu, Chan yakin kek vintaj akan terus mendapat sambutan kerana kek sedemikian semakin sukar diperoleh di kedai kek moden lain.

“Kita boleh lihat walaupun menu-menu moden telah menjadi trend dalam kalangan generasi muda, tidak kurang juga ada dalam kalangan mereka yang masih merindui zaman kanak-kanak dan mengimbas kembali kenangan mereka menerusi makanan,” katanya. – Bernama