Kekal berwaspada meski beralih ke Fasa Endemik

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Kita memang berharap untuk mendapatkan kes sifar tapi ianya memang sukar.

Apa yang penting dalam hal ini, tegas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media hari ini semasa memberi respons untuk mendapatkan kes sifar, adalah penting untuk mereka yang positif itu untuk lebih terbuka mengongsikan siapa kontak-kontak terdekat mereka.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menekankan bahawa masih ada sebahagian yang dijangkiti COVID-19 itu tidak mahu mengongsikan kontak terdekat mereka yang mana ini akan menyebabkan penularan terus berlaku atau mengambil masa lama untuk mengesan kontak dekat dan secondary kontak mereka.

Beliau seterusnya menyeru untuk meminta kerjasama orang ramai yang dijangkiti atau diberi ping merah oleh BruHealth untuk mengikuti peraturan yang disediakan dan menjalani penga-singan diri.

Dengan membuat peralihan ke Fasa Endemik ini, jelas Yang Berhormat Dato, walaupun kes hari ini menunjukkan tahap rendah, apa yang penting kerajaan sudah menyediakan persediaan terutama dari segi vaksin dan SOP.

“Ini sekarang terpulang kepada rakyat untuk mematuhinya bagi memastikan kita masih dapat maju ke peralihan seterusnya dalam Fasa Endemik ini,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kegembiraan memang ada tetapi orang ramai diingatkan agar jangan terlalu teruja untuk masuk ke Fasa Endemik ini, di mana kita perlu kekal berhati-hati dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Penularan di kalangan masyarakat masih ada, ia boleh dilihat pada beberapa hari yang lalu yang mana terdapat kluster di rumah persendirian yang mana ia semakin meningkat dan perlu diambil perhatian,” tegasnya.